Rabu, 14 Julai 2010

KEMENANGAN HASIL PERPADUAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kemenangan dicapai ketika perpaduan erat wujud pada seluruh anggota parti dan kekalahan menimpa apabila saling berpecah, demikian ditegaskan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Mengimbau sejarah lalu, katanya, ketika PAS memenangi semua kerusi dan memerintah Kelantan tahun 1990, PAS Kedah pula menghadapi keputusan teruk dengan kemenangan hanya satu kerusi Dun.

Kesan dari keputusan teruk itu, PAS Pusat ujar beliau, telah menubuhkan jawatankuasa khas 'post-mortem' dan kajian menunjukkan, kekalahan teruk tersebut berpunca kerana tidak ada perpaduan di mana wujud pelbagai kem dan dewan-dewan juga bergerak dengan cara sendiri.

Lantaran itu jelas Ustaz Azizan, PAS Pusat menetapkan untuk Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor pulang memimpin semula PAS Kedah.

Hasilnya ujar beliau, perpaduan ditautkan dan ahli parti bangun kembali berjuang walaupun menghadapi pelbagai masalah.

Bahkan sebelum menang katanya, tidak ada sebarang publisiti selain banyak pihak termasuk PAS Pusat tidak meyakini Kedah untuk menang.

"Tidak ada publisiti di Kedah. Kita menang bukan kerana publisiti. Kita menang kerana orang puji kita. Kita menang kerana perjuangan kita, komitmen kita, penglibatan kita.

"Susun semula itulah kita boleh bekerja sungguh, hasil pengorbanan kita, perpaduan kita. Inilah yang saya nak bercakap pada hari ini. Umno kuat, Umno memerintah Pusat, Umno ada jentera, Umno ada kepakaran, ada kekuatan, tapi dia kalah kerana dia bergaduh sesama dia.

"Saya tidak mahu dengar bergaduh di Kedah ni, sekarang kita memerintah dengan orang lain kerana doa restu rakyat, doa restu puan-puan, doa restu orang muda, orang tua-tua, para ulama, pengorbanan dan ketakwaan pimpinan walaupun difitnah yang bukan-bukan," ujarnya pada Ijtimak Muslimat PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 2 Julai lalu.

Jelas beliau, fitnah dan pelbagai cerita yang disebarkan musuh ketika ini hanya bertujuan memecah dan meretakkan perpaduan sesama ahli parti.

Kerana pihak-pihak tersebut katanya, tidak mempunyai ruang untuk memburuk-burukkan pentadbiran, ketelusan dan kesungguhan kerajaan untuk masa ini.

Pun begitu beliau kesal kerana ahli PAS sendiri tumpang menyebarkan fitnah dan cerita tersebut dan perkara kecil berbanding yang besar.

Ujarnya, banyak kebaikan yang dibuat hari ini tetapi musuh memainkan peranan untuk timbulkan keraguan.

Pun begitu katanya, adalah lebih berbahaya apabila keraguan itu ditimbulkan di kalangan ahli PAS sendiri.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons