Rabu, 2 September 2009

KERAJAAN KEDAH CABAR SPR

Oleh IZWAN ABDUL HALIM (Wartawan Harakah Cetak)
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Kerajaan Negeri Kedah akan mengkaji dan berkemungkinan besar mengambil tindakan undang-undang selanjutnya untuk membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri yang terdapat di Malaysia ini, demikian menurut Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan SPR bahawa tidak berlaku kekosongan pada kerusi Dun Kota Siputeh.

"Kerajaan negeri mengambil tindakan ini dengan merujuk Undang-undang Tubuh Negeri Kedah Perkara 51 yang menyebut bahawa mana-mana Adun gagal hadir dua kali berturut-turut dalam Sidang Dun tanpa kebenaran Speaker maka kerusi itu hendaklah dikosongkan.

"Jadi saya tidak fahamlah SPR merujuk kepada undang-undang mana untuk membuat keputusan tidak berlaku pilihan raya kecil," ujarnya kesal.

Mengulas perkara sama, Exco Kanan Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Ir Amiruddin Hamzah melahirkan rasa terkejut dan tidak menjangka keputusan SPR tersebut kerana katanya, alasan yang diberikan Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail adalah kukuh berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

"Sepatutnya diterima sebab 'ground' yang diberikan Speaker itu jelas iaitu tidak hadir dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker. MC (cuti sakit) yang diberikan itu adalah sesuatu yang datang beberapa hari selepas daripada dia (Adun Kota Siputeh) gagal hadir dan memaklumkan kepada Speaker.

"Jadi kalau mana-mana Adun yang tidak hadir, kemudian seminggu selepas itu baru cari MC dan beri kepada Speaker, jadi maksud "dengan kebenaran Speaker" itu sudah tidak ada maknalah. Maksud "dengan kebenaran Speaker" itu mestilah sebelum perkara itu berlaku.

"Contohnya katakan pagi itu dia sakit, dia hanya perlu telefon dan maklum dia sakit. Mungkin dia tidak ada MC tetapi maklumkan kata dia sakit dan tidak dapat hadir sudah cukup untuk Speaker membuat keputusan untuk memberi kebenaran, tetapi maklum apa pun tidak.

"Kita ada maklumat mengatakan dia (Adun Kota Siputeh) menyangka dia akan gugur keahlian Dun sekiranya tidak hadir tiga kali berturut-turut. Jadi dia ingat dua kali tidak mengapa macam sembahyang Jumaat," ujar Amiruddin sinis.

Pun begitu katanya, kerajaan negeri sedang menunggu alasan dari SPR kerana SPR tidak boleh mengadakan keputusan tanpa memberikan alasan.

Sementara itu, Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail berkata beliau yakin alasan-alasan awal SPR boleh dicabar.


Ujarnya, beliau tidak terkejut dengan keputusan SPR itu kerana kenyataan-kenyataan awal sebelum SPR bermesyuarat pun telah menunjukkan kecenderungan mereka agar tidak memperakui kekosongan tersebut dan mengadakan pilihan raya kecil di situ.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons