Isnin, 6 Julai 2009

MEMPERSIAPKAN PELAPIS KEPIMPINAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KOTA SARANG SEMUT: Dewan Pemuda seumpama ‘madrasah tarbiah’ kepada perjuangan PAS apabila telah melahirkan ramai pimpinan yang ada pada hari ini.

Di institusi inilah, para pemuda telah dilatih dan dididik melalui satu proses tarbiah perjuangan yang cukup panjang untuk menjadi pimpinan atau ‘produk’ Dewan Pemuda, demikian menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Ujar beliau, hanya sebahagian kecil sahaja yang memasuki kepimpinan bermula daripada atas melalui ruang yang diberi kepada tokoh-tokoh tertentu.

“Yang lain kebanyakannya melalui dari satu tangga ke satu tangga untuk capai ke peringkat mengambil alih kepimpinan.

“Semua ini memerlukan ketahanan, pegangan kukuh, istiqamah hebat kerana ia melalui satu jangkamasa panjang lebih-lebih lagi tempoh masa yang lepas kita tidak mempunyai kuasa langsung,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini 24 Jun lalu.



Menurut beliau, jika tempoh yang lalu itu dilihat dalam konteks perbahasan haraki, maka ia dikenali sebagai peringkat marhalah Makkah iaitu perjuangan dakwah pada ketika tidak memiliki kekuasaan.

Malah sirah Rasulullah SAW itu katanya, turut merakamkan marhalah ini sebagai zaman yang tidak ramai orang menyertai perjuangan Islam di mana setelah 13 tahun, hanya sekitar 300 orang sahaja bersama baginda.

“Proses ini telah melatih semua peringkat keahlian yang lalu hingga menjadi aset paling besar (kepada PAS) kerana istiqamah mereka hingga tidak boleh digugat oleh sebarang keadaan dan aset seperti ini tidak ada pada perjuangan lain melainkan perjuangan Islam,” ujar beliau dengan turut memberikan contoh beberapa gerakan politik yang kecundang dan ‘ghaib’ apabila ketiadaan kuasa.

Tegas Phahrolrazi, hanya gerakan Islam sahaja yang kekal berterusan kerana meletakkan pegangan bahawa ia merupakan mata rantai kepada perjuangan generasi terdahulu untuk membawa risalah pimpinan Rasulullah SAW.

Katanya, itulah rahsia sebenar kekuatan dan memantapkan PAS dalam keadaan pelbagai cubaan mendatang hingga melahirkan jiwa-jiwa yang kukuh kepada perjuangannya.

Perjuangan PAS juga ujarnya, bersifat global dan menjadi sebahagian rangkaian gerakan Islam diseluruh dunia ini.

Oleh itu katanya, PAS tidak pernah merasa kecil jiwa dan kerdil apatah lagi kecewa biarpun menghadapi kekalahan demi kekalahan pada masa lalu dalam medan politik yang disertainya dan ulama PAS tetap berijtihad dalam perjuangan aman ini untuk terus memilih pendekatan ‘muwajahah silmiyah’.

“Kecuali terdapat halangan-halangan yang berlaku di sesetengah negara bila mana perjuangan muwajahah silmiyyah tidak dapat dilaksanakan, mereka tiada pilihan, mereka terpaksalah menghadapi ‘muwajahah minquwwah’,” ujarnya yang turut menegaskan bahawa masih luas ruang untuk menggunakan kaedah muwajahah silmiyyah di Malaysia ini.

Pun begitu beliau mengingatkan, dalam konteks pendekatan muwajahah silmiyyah yang digunakan di sepanjang sejarah perjuangan PAS, masih terdapat juga ahli PAS syahid dibunuh bahana kejahatan musuh.

“Tetapi bila kita terus beristiqamaah dengan kekuatan kita, dengan semangat jihad yang ada dalam pemuda-pemuda kita, menyebabkan musuh gerun sedangkan kita tidak ramai,” ujar beliau seterusnya menyingkap sejarah beberapa ‘kesan negatif’ kepada PAS ketika bersama Umno hinggalah kebangkitan yang dicetuskan Pemuda PAS dengan memperkenalkan konsep Kepimpinan Ulama.

Konsep itu katanya, turut menyemarakkan kemantapan tarbiah dan dakwah yang mengemukakan pegangan berkaitan garis sempadan iman.

Tambahnya lagi, sejarah tersebut telah mematangkan PAS hinggakan tiada lagi nilai yang dapat diletakkan kepada perjuangan PAS hari ini di mana semakin dihormati dan dikagumi kawan dan lawan.

PAS ujar beliau, terus mengorak langkah dan berjaya memperolehi kuasa, namun berdepan cabaran yang kian besar.

“Masa tiada kuasa, tidak ada pertandingan sangat (setiap kali pemilihan), tetapi bila ada kuasa, ramai tokoh mula muncul. Sama macam di Madinah, bila cepat Islam berkembang, ada pelbagai tokoh dan kabilah masuk dengan masing-masing bawa pengaruh dalam jamaah. Jamaah makin bertambah ramai dan cabaran dalaman juga besar,” ujar beliau menitipkan peringatan.

Phahrolrazi turut mengingatkan pemuda mengenai cabaran luaran yang juga besar tatkala Islam masih diawal mendapat kuasa.

Untuk itu pemuda katanya, perlu membuat persiapan mental dalam memahami realiti hari ini dan merancang agenda masa panjang ke arah pelaksanaan Islam yang syumul serta membawa masyarakat cenderung kepada menerima Islam.

Menurutnya, tembok pemisah yang merintangi masyarakat umum lebih-lebih lagi kalangan bukan Islam telahpun runtuh di mana perkara-perkara berkaitan Islam tidak lagi menjadi isu sensitif.



Oleh itu serunya, pemuda perlu meluaskan dakwah dan memainkan peranan selain bersedia mengambil alih kepimpinan ini kelak.

Pada majlis tersebut, Phahrolrazi telah menyampaikan watikah kepada para pemegang jawatan dalam keorganisasian Dewan Pemuda di peringkat negeri dan kawasan-kawasan serta institusi berkaitan Dewan Pemuda.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons