Sabtu, 28 Februari 2009

TAKZIAH - Ustaz Wan Jamil Mahmood meninggal dunia

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengucap takziah kepada PAS Negeri Kelantan dan keluarga Allahyarham Ust Wan Jamil Wan Mahmud yang telah kembali ke rahmatullah hari ini. Pemergian beliau satu kehilangan besar tokoh politik Islam yang telah memberi sumbangan yang amat berharga kepada perjuangan Islam. Tokoh yang penuh dengan istaqamah dan bewibawa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Amin



KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) - Yang Dipertua PAS Tumpat, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood, 63 meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian kira-kira jam 1 pagi tadi.

Beliau dirawat di hospital berkenaan sejak lebih sebulan lalu akibat jangkitan kuman di bahagian buah pinggang.

Sebelum ini Allahyarham yang juga mantan anggota Parlimen Tumpat sudah beberapa kali dirawat di hospital tersebut sejak tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Arniwati Sabirin merupakan anggota jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kelantan.

Selain itu beliau juga merupakan penyelia Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubur dan Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat serta bekas Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Mendapat pendidikan peringkat sarjana muda di universiti di Indonesia. Isterinya juga berasal dari Bukit Tinggi.

Setiausaha PAS Tumpat, Jamaluddin Ishak berkata, kematiannya merupakan kehilangan besar bagi PAS Tumpat dan Kelantan memandangkan Allahyarham merupakan seorang tokoh politik yang disegani kawan dan lawan.

"Malah kepimpinannya begitu menonjol ketika menjadi anggota parlimen Tumpat kerana aktif mengambil bahagian bagi menyuarakan masalah rakyat," katanya.

Jenazahnya akan disembahyang kira-kira jam 11 pagi ini di Masjid Pasir Pekan tidak jauh dari rumahnya. Ia dijangka diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dan jenazahnya akan disemadikan di tanah perkuburan kampung tersebut. Alfatihah. - mj _

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons