Khamis, 19 Februari 2009

Pendesak bekas ADUN Bukit Selambau letak jawatan terbongkar!

Wednesday, February 18, 2009
Pendesak bekas ADUN Bukit Selambau letak jawatan terbongkar!
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
ALOR SETAR: Kenyataan bekas aktivis PKR, Zamil Ibrahim yang tampil membuat pengakuan bahawa beliau telah dengan sengaja menaja calon bebas di Pilihanraya Umum Ke 12, V. Arumugam di Bukit Selambau membongkar rahsia bahawa beliaulah antara yang kerap mendesak V. Arumugam keluar parti dan sertai BN.
Demikian diberitahu oleh Senator Ir Zamri Yusuf selaku Pengerusi Biro Latihan PKR Kedah sebagai mengulas isu yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian, bahawa penaja calon bebas Bukit Selambau lalu (V. Arumugam) tidak diugut keluar parti.
"Umum juga boleh melihat dan memahami dari kenyataan itu, bahawa beliau adalah agen yang dimaksudkan oleh V. Arumugam sebelum ini, kerana hanya beliau tahu setakat mana tawaran dan ugutan yang cuba dilakukan oleh agen BN ke atas V. Arumugam.
"Sebenarnya V. Arumugam dan 4 lagi ADUN Keadilan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah sentiasa memberi kerjasama dan berbincang dengan Perhubungan Negeri, khususnya tiga YB ahli Exco termasuk V. Arumugam. Mereka juga dibantu melalui jawatankuasa penyelaras ADUN & MP, yang dipengerusikan oleh YB Dato' Johari Abdul," ujarnya.
Tambah Senator Ir Zamri lagi, V. Arumugam juga telah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan sepanjang 11 bulan perkhidmatan beliau sebagai ADUN dan EXCO , walaupun dalam keadaan bajet yang terbatas serta pengalaman kali pertama sebagai Wakil Rakyat.
"Malah beliau dapat melaksanakan tugas dengan lebih lancar selepas Zamil dan kawan-kawannya tidak lagi bersama PKR mulai Ogos 2008.
"Tekanan yang dihadapi oleh YB Arumugam untuk mendesak beliau meninggalkan Pakatan Rakyat sebenarnya semakin intensif sejak BN melaksanakan proses menggulingkan Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak.
"Soal bentuk serangan yang lebih bersifat peribadi adalah diantara pendekatan tidak bermoral yang sangat kerap digunakan oleh mereka yang tidak senang hati dengan penerimaan Rakyat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, termasuk mutakhir ini ke atas YB Elizabeth Wong," terang Zamri.
Katanya, tindakan V. Arumugam memilih untuk mengembalikan hak pilihan kepada rakyat Bukit Selambau adalah satu sikap bertanggungjawab yang seharusnya dipuji bagi pencinta demokrasi. "Malah beliau member komitmen untuk turut hadir semasa hari proses berkempen sempena Pilihanraya Kecil Bukit Selambau," ujarnya.
Oleh itu, kata Zamri, Zamil sebenarnya tidak mempunyai hak untuk mengulas isu V. Arumugam kerana beliau juga sebenarnya hanyalah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah semasa Pilihanraya Umum Ke 11.
"Melainkan beliau yang mengaku bertanggungjawab ke atas YB Arumugam sepatutnya menjawab persoalan ramai tentang di mana V. Arumugan berada ketika ini," ujarnya.




Rujukan: Petikan berita Utusan Malaysia 18 Februari 2009
Penaja nafi Arumugam letak jawatan diugut BN
SUNGAI PETANI 17 Feb. - Individu yang menaja V. Arumugam pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, menafikan peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau itu disebabkan oleh ugutan pihak tertentu khususnya Barisan Nasional (BN).
Zamil Ibrahim yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah mendakwa, Arumugam tidak pernah ditawarkan sebarang imbuhan sekiranya bersetuju untuk meletak jawatan, sebaliknya beliau berbuat demikian atas sebab lain.
"Selepas sebulan menjadi Exco, Arumugam mengadu tidak selesa serta 'dianaktirikan' kerajaan negeri, jadi saya nasihatkan dia supaya keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan sebab itulah dia letak jawatan.
"Dia (Arumugam) menceritakan semua masalah kepada saya kerana saya bertanggungjawab membiayai sepenuhnya perbelanjaan beliau dari segi deposit calon, kos berkempen serta menyediakan borang pencalonan pada pilihan raya umum yang lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Zamil yang juga bekas Pengarah Strategi PKR Merbok mendakwa, walaupun beliau mempunyai kuasa penuh ke atas Arumugam dan boleh menyuruhnya meletak jawatan pada bila-bila masa, namun beliau tidak pernah menawarkan sebarang bayaran untuk tujuan itu.
Beliau mendakwa keputusan untuk menaja Arumugam dibuat secara peribadi selepas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih calon yang tidak dipersetujui PKR Merbok untuk kerusi DUN Bukit Selambau iaitu Saiful Izham Ramli yang pencalonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR ) kerana gagal mengemukakan belanjawan pada pilihan raya 2004.
Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, Arumugam yang bertanding atas tiket Bebas sebelum menyertai PKR, menewaskan calon BN dari MIC, S. Krishnan dengan majoriti 2,362 undi.
Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan selepas dikatakan tidak tahan dengan ugutan oleh pelbagai pihak, termasuklah kononnya terdapat individu tertentu yang mewakili BN menawarkan habuan RM5 juta supaya beliau melompat parti.
Arumugam, menerusi seorang wakilnya telah menghantar surat mengenai peletakan jawatan ADUN dan Exco Kerajaan Negeri pada 8 Februari lalu. - BERNAMA

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons