Ahad, 7 Disember 2008

Dermawan sumbang RM5 juta bina rumah rakyat miskin

Sunday, December 7, 2008
Oleh IZWAN ABDUL HALIM

YAN: Kerajaan Negeri memperuntukan kawasan seluas 15.09 ekar di Dulang, di sini untuk pembinaan penempatan bagi rakyat miskin di daerah ini hasil sumbangan seorang dermawan melalui Tabung Tunku Mahmud.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Pejabat Daerah Yan, di sini 3 Disember lalu berkata, dermawan itu memberi sumbangan sebanyak RM 5 juta untuk dibina 100 unit rumah. Beliau bagaimanapun enggan menyatakan nama individu berkenaan.

Maklum beliau, tapak pembinaan itu asalnya akan dibangunkan penempatan bagi penduduk yang mengalami hakisan pantai di sekitar Pantai Kuala Sungai Sala hingga ke Sungai Yan. Selain daripada mereka yang berkenaan, penduduk miskin di daerah itu juga akan diberi penempatan di situ di mana pemilihan akan dijalankan oleh Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN).

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM 2 juta bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Guar Chempedak.

Pada sebelah petang, Menteri Besar dan anggota Exco telah melawat ke tapak penempatan berkenaan dan menerima taklimat yang disampaikan oleh Pengarah UPEN, Dato' Bashiruddin Haji Abdul Jamil yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan).

Sementara itu, wakil dermawan yang juga enggan namanya disiarkan berkata, perumahan 'mesra rakyat' tersebut akan dibangunkan dengan konsep bersepadu meliputi sosial, ekonomi dan alam sekitar.


"Kita tidak mahu dia tinggal di rumah itu, dia orang miskin tetapi putaran kemiskinannya tidak habis. Kita mahu orang yang tinggal di situ kalau boleh anaknya keluar dari kemiskinan," ujarnya yang turut memaklumkan bahawa surau, balai raya, bangunan pra-sekolah dan kedai akan turut dibina dalam merealisasikan konsep itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya berhasrat untuk terus menyalurkan sumbangan seumpama itu bagi pembinaan penempatan di daerah-daerah lain pula dalam negeri Kedah.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons