Ahad, 7 September 2008

Kalau Roosevelt boleh menyamar di pekat malam...

Shirzad Lifeboat
Sat | Sep 06, 08 | 4:01:52 pm MYT

Pada 2 September lalu bersamaan hari kedua Ramadan, Perdana Menteri Dato' Seri Adullah Ahmad Badawi mengadakan majlis dialog dengan para ulama, ilmuan dan badan bukan kerajaan yang dilaporkan menyentuh pelbagai perkara mengenai agama serta cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini.

Apa juga dialog mengenai Islam tentulah baik. Ia menjadi bertambah baik jika diadakan sempena kemuliaan Ramadan.Namun dialog dan perbincangan menjadi tidak bermakna sekiranya ia menjadi cakap-cakap kosong yang hanya sesuai untuk disimpan sebagai tidak lebih dari kertas kerja yang akhirnya mengumpul debu di rak pejabat.

Antara intipati dialog itu Abdullah mahukan para ulama dan umara bersatu "untuk mengukuhkan agama Islam dan sekali gus dapat mengelak perbalahan di kalangan umat Islam.

"Nampaknya, seperti dijangkakan, tidak ada wacana baru dalam kata-kata Abdullah. Ramai yang telah memperkatakan kerjasama di antara umara dan ulama sejak lama dulu. Namun sejauh mana apa yang diperkatakan menjadi kenyataan dan sejauh mana umara bersedia melaksanakan usul ulama dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

"Tuntutan agar setiap individu Islam menuntut ilmu sebagaimana yang disarankan oleh Abdullah dalam majlis dialog berkenaan juga bukanlah sesuatu yang baru malah ia merupakan ayat pertama dalam al-Quran. Apabila ilmu itu dituntut atas nama Allah, �Bacalah� Bacalah dengan nama Tuhan kamu ...," maka sudah tentu si pemilik ilmu itu akan menjadi insanul kamil dan bukan hidup seperti watak 'insan lakonan Saleh Kamil' dalam filem Sarjan Hassan.

Membaca dalam konteks menuntut ilmu adalah wahyu pertama Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ia adalah antara perkara asas dalam Islam. Tuntutan, kewajipan dan kemestian menuntut ilmu tak perlu didialog-dialogkan. Apa yang penting dilakukan oleh umara ialah mewujudkan suasana selesa dari segi peluang, pembiayaan dan infrastruktur untuk umat Islam berbuat demikian.

Barangkali untuk memahami peranan umara dalam konteks Islam, Abdullah perlu melakukan apa yang pernah dilakukan oleh Khalifah Haroun ar-Rashid yang menyamar sebagai rakyat biasa, bukan sekadar bagi memahami, tetapi menjiwai masalah rakyat.

Pelik lagi ajaib, tidak ada pemimpin negara moden Islam yang mahu mengambil iktibar dari apa yang pernah dilakukan oleh Haroun. Pemimpin negara Islam termasuk Malaysia sendiri lebih bersifat reactionary - merangka penyelesaian berdasarkan laporan atau sebagai reaksi kepada sungutan rakyat.

Bayangkan pihak yang merangka masalah tidak faham dan tidak menjiwai masalah itu dan hanya mempelajari masalah tersebut dari sumber kedua. Bertambah pelik lagi menakjubkan apabila orang seperti Presiden Amerika Theodore Roosevelt pula, ketika menjadi Pesuruhjaya New York Police Deparment diberikan gelaran Haroun al-Roosevelt oleh akhbar tempatan kota raya itu kerana amalannya yang suka menyamar seperti rakyat biasa di tengah-tengah kepekatan malam di pinggir kota New York untuk mengesan pegawai polis yang ponteng tugas.

Tidak pasti sama ada Roosevelt membaca mengenai Haroun ar-Rashid dari Ensaiklopedia Americana atau lain-lain buku yang khusus mengenai riwayat hidup Haroun atau mempelajari tentang kehebatan, keadilan dan keseriusan khalifah tersebut dari cerita-cerita mengenainya yang terdapat dalam ratusan terjemahan buku 1001 Malam.

Apapun tanpa perlu meuar-uarkan satu konsep Islam baru bagi mengangkat dirinya atau menunjukkan kepada dunia dia tahu banyak perkara tentang Islam, pemerintahan Khalifah ke-5 Abbasiyah (786-809) dan paling terbilang ini ditandai dengan kecermelangan dan kegemilangan saintifik, kebudayaan dan keagamaan yang diperakui dan diiktiraf oleh dunia Timur dan Barat sehingga hari ini.

Begitu juga dengan kesenian, keilmuan dan kenegaraan. Malah ketika beliau wafat pada tahun 809 itu Haroun meninggalkan wang sebanyak hampir 1 bilion dirham dalam perbendaharaan kerajaan.

Inilah satu-satunya umara Islam yang patut dicontohi semua. Apabila seseorang pemimpin tidak banyak bercakap, tidak banyak berkonsep dan tidak banyak berdialog tetapi sebaliknya menumpukan seluruh tenaga ke arah membina kesejahteraan Islam dan umatnya, maka pemimpin itu dengan sendirinya menjadi hebat, disayangi rakyat dan iktiraf oleh orang lain, termasuk orang bukan Islam.

Sepatutnya dengan bermulanya bulan Ramadan ini, Abdullah dan para menterinya telah bersiap sedia menghadapi masalah umat Islam Malaysia yang sudah berlanjutan berpuluh-puluh tahun lamanya - masalah mendapatkan bas dan pengangkutan awam lain untuk pulang ke kampung dan berhari raya bersama ibu bapa dan sahabat handai sebagaimana dituntut agama.

Tidak perlulah menghabiskan masa sekadar bercakap peri-pentingnya menyatukan umara dan ulama kerana hal itu sudah jelas dan tak perlu berdialog-dialog apabila masih ada masalah ummah yang lebih penting dan perlu ditangani segera.

Sementara Abdullah bercerita tentang cabaran umat Islam masa kini, di luar sana, di Hentian Jalan Duta dan di tengah-tengah suhu menghampiri 35 darjah Celcius dan kadar kelembapan bandingan yang mencecah 96 peratus, ribuan umat Islam yang marhaen sedang beratur dalam usaha mendapatkan tiket bas untuk pulang berhari raya di kampung masing. Begitu juga di Hentian Puduraya dan Hentian Putera. Pemberitahuan di kaunter "tiket belum di jual" setelah berbaris dari pagi sampai ke petang kerana menanti keputusan kerajaan mengenai surcaj dan tambang baru, sudah tentu mencabar kesabaran.

Dan apabila tiket dijual pada hari berikutnya tetapi habis setelah menghabiskan masa begitu lama berbaris di tengah cuaca panas dan kesesakan ia tentulah mengundang kemarahan. Ketidak-pastian sama ada bas tambahan akan turut beroperasi kerana kebanyakan pengusaha enggan berbuat demikian atas sebab tambang yang tidak berbaloi hanya menyebabkan mereka yang mahu pulang ke kampung menjadi semakin gusar.

Abdullah sepatutnya menjadi umara prihatin dan turut sama berbaris bersama rakyat bagi benar-benar memahami dan menjiwai perasaan mereka. Hanya dengan ini barulah beliau dapat memahami masalah dan perasaan rakyat sebenarnya.

Hanya dengan ini juga mungkin kerajaan merangka satu cara bagi menyelesaikan masalah ini untuk selama-selamanya.Masalah dan keluhan rakyat bila tiba musim balik kampung bukanlah sesuatu masalah baru. Usaha cuba memahani masalah ini dengan duduk di bilik pejabat dan dewan dialog berhawa dingin dan bercakap tentang cabaran umat Islam tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

Masalah ini sudah berlarutan begitu lama. Namun di sebalik Malaysia Boleh, di sebalik kitalah terbaik dalam itu dan ini, kita ternyata tidak dapat menyeselaikan masalah kecil seperti ini. Mengapa?

Jawapannya kerana mereka yang menaiki bas untuk pulang ke kampung adalah merupakan golongan rakyat biasa yang kurang berada dan tak mampu untuk membeli kenderaan sendiri.

Tentu ada yang mengatakan Abdullah tak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Tetapi kepada siapakah akhirnya Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Perlesenan Pengangkutan Awam akhirnya melaporkan? Atau apakah 10 prinsip Islam Hadhari Abdullah boleh diaplikasikan bagi menghadapi cabaran ini?_

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons