Jumaat, 18 April 2008

Kerajaan negeri akan beri bantuan kepada mangsa kebakaran

KODIANG, 18 April (Hrkh) - Kerajaan Kedah akan memberikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Pekan Kodiang pagi tadi selepas dibuat taksiran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, demikian jelas Exco Kanan, Ir Phahrolrazi Zawawi.
Selain itu kerajaan juga akan mengkaji bentuk tindakan lanjut yang akan diambil memandangkan tanah yang diduduki itu bertaraf sementara (TOL).
Beliau hadir melawat tempat kejadian kira-kira jam 1.00 tengah hari tadi bersama-sama Adun Ayer Hitam, Abdul Ghani Ahmad serta Pegawai Tugas Khas Kanan Menteri Besar, Roslizan Zakaria.
Dalam kejadian pukul 10.00 pagi tadi, sederet rumah kedai lapan pintu kedai milik peniaga kaum Tionghua di Pekan Kodiang hangus dijilat api.
Kebakaran tersebut membabitkan dua buah kedai runcit, dua buah kedai emas, dua buah kedai telefon bimbit, sebuah kedai emas dan sebuah kedai barangan elektrik.
"Kebakaran bermula kira-kira jam 10.00 pagi dan pihak bomba yang menerima panggilan pada jam 10.20 pagi tiba 15 minit kemudian. Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berdekatan 20 minit kemudian," kata pegawai penjaga Balai Bomba Jitra, Abdul Kudus Abdul Malik.
Bagaimanapun sejurus kebakaran berlaku, pasukan bomba sukarela Pekan Kodiang yang berada berdekatan sudah memulakan tugas mereka dengan dibantu pasukan bomba sukarela dari pekan berdekatan seperti Padang Sera, Tunjang dan Megat Dewa.
Menurut Abdul Kudus, secara keseluruhan, pasukan bomba yang terlibat ialah dari balai Jitra, Arau, Bukit Kayu Hitam dan Alor Star selain dibantu tujuh kereta bomba sukarela.
"Punca kejadian dan kerugian masih disiasat," kata Abdul Kudus.
Sementara itu, awal petang tadi, satu mesyuarat khas diadakan di pejabat Penghulu Mukim Keplu dekat sini untuk memutuskan tindakan segera kepada mangsa kebakaran.
Mesyuarat dipengerusikan Penghulu Mukim, Md Akib Hashim dan turut disertai Phahrolrazi, Roslizan, mangsa kebakaran serta wakil dari pasukan Bomba dan Penyelamat.
Turut hadir wakil Pejabat Daerah Kubang Pasu, Naib Yang di-Pertua PAS Kawasan Jerlun, Ismail Wan Teh dan Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Abdul Aziz Hat.
Antara bantuan segera yang diberikan ialah bantuan makanan dari Pejabat Daerah Kubang Pasu bernilai RM100.00 kepada semua lapan keluarga mangsa yang terbabit.
Dalam ucapan ringkasnya, Phahrolrazi berharap semua mangsa bersabar dengan ujian tersebut di samping mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba dan penyelamat serta pasukan bomba sukarela yang banyak membantu. Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan dari pihak kerajaan negeri kepada semua mangsa kebakaran tersebut.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons