Sabtu, 19 April 2008

BN tidak lagi releven untuk terus mentadbir Malaysia

Rakyat tidak boleh lagi bergantung kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara di masa depan kerana parti itu bermasalah dan adakala masalahnya tidak berkesudahan sekali gus boleh menjejaskan kelancaran kuasa mentadbir negara jika rakyat terus memberu mandat kuasa kepada parti itu.
Masalah komponen teras Umno tidak berkesudahan sejak 1987 apabila Umno mula diharamkan dan kini berlarutan dengan krisis kepimpinan tidak berwibawa bila ia dihalalkan semula oleh undang-undang.
Masalah kesepaduan parti itu sekarang tergugat kerana gabungan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain tidak seutuh dahulu apabila keputusan pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu memberi reaksi memeranjatkan apabila majoriti dua pertiga BN di parlimen berjaya dinafikan Pakatan Rakyat.
Ia disifatkan keputusan pilihan raya umum terburuk sejak BN memerintah negara (mulai tahun 1969).
Parti-parti yang terhimpun dalam BN adalah parti-parti perkauman yang disatukan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang mencetuskan pergaduhan kaum. Tetapi ada yang berpendapat ia adalah pergaduhan politik, sebagaimana laporan dalam ensiklopedia bebas, Wikipedia.
BN ditubuhkan selepas Perikatan dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman menang dengan majoriti dua pertiga.
Penubuhan BN ini antara lain meredakan pergaduhan kaum pada ketika itu. Bagaimanapun penyelesaian yang dibuat melalui pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kononnya untuk mengatasi masalah jurang ekonomi antara kaum khususnya kaum bimputera ketika itu gagal membentras jurang berkenaan sehingga hari ini.
Ini terbukti apabila DEB digunakan untuk menompokkan kekayaan di kalangan mereka yang berada di sekililing pemerintah sahaja bukan mengatasi masalah ekonomi rakyat dalam erti kata yang sebenarnya.
Rasa tidak puas hati rakyat khususnya mengenai ketidakdilan BN melayani kehendak rakyat dicetuskan dalam bentuk yang lebih efektif dengan mengadakan perhimpunan aman termasuk perhimpunan Bersih dan Hindraf di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rakyat lebih rasional, tidak menjadikan sentimen kaum sebagai asas penyelesaian apabila mereka membaca sejarah bahawa 13 Mei 1969 sebenarnya pencetus krisis perkauman yang terburuk di Malaysia.
Justeru kesan dari sejarah itu orang Melayu, India, Cina dan kaum lain khususnya di semenanjung telah mencetuskan rasa tidak senang hati mereka terhadap BN khususnya Umno yang sudah lari dari asas pembentukan Malaysia selepas peristiwa tersebut.
Pembangunan yang tidak seimbang antara spritual dan material, antara kepentingan individu dan rakyat mencetuskan keputusan pilihan raya umum ke-12 itu.
Dalam 50 tahun BN diberi mandat memerintah negara, isu-isu berkaitan keadilan pembahagian kekayaan antara kaum, kemiskinan, rasuah di kalangan pemimpin kerajaan dan penyelahgunaan kuasa masih menjadi asas perhitungan politik rakyat untuk membuat perubahan di masa akan datang.
Pakatan Rakyat adalah cetusan baru kesedaran rakyat untuk membuat perubahan. Parti-parti yang berpakat dalam Pakatan Rakyat adalah parti-parti berfikiran terbuka melihat masa depan rakyat dan negara akan terus malap sekiranya Malaysia terus diperintah oleh BN.
Umno yang menjadi teras kekuatan BN, seringkali menyinggung rakan-rakannya dengan isu-isu perkauman dalam banyak perjumpaan dan 'public speaking', apa lagi dengan slot menghunus keris Panca Warisan setiap kali perhimpunan agungnya mencetuskan rasa tidak senang hati di kalangan rakan komponen parti berkenaan.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dlaporkan turut menyuarakan pandangan ini dan mungkin beliau mempunyai agenda tertentu di sebalik kenyataannya itu, perlu dibicarakan kemudian.
Apabila pilihan raya umum ke-12 banyak memukul keutuhan rakan-rakan Umno dalam BN kerana ramai dari calon mereka kecundang dalam pilihan raya itu, kepimpinan parti terbabit menuding jari kepada Umno dan tindak tanduk pemimpinnya telah mencetus kekalahan tersebut.
Demonstrasi Hindraf umpamanya, menyerang hebat Umno sebagai dalang kepada permasalahan terpinggirnya kaum India di negara ini.
Ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan, Ngeh Koo Ham dalam perhimpunan rakyat di Stadium Perak baru-baru ini memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia dari semua lapisan kaum mempunyai hak untuk mengecapi keadilan politik, kekayaan dan kemudahan hidup lebih baik di negara ini.
Selepas ini parti-parti perkauman perlu menilai semula segala visi dan misi mereka agar ia tidak menyentuh sensitiviti kaum lain dalam tindak tanduk politik mereka kerana perkauman bukan lagi agenda rakyat. Ia hanya menjadi agenda parti-parti komponen BN.
Justeru BN tidak lagi menjadi relevan pada bila-bila masa dengan prinsip perjuangannya selama ini. Rakyat mahu melihat Malaysia baru yang mengekalkan nilai-nilai murni antara kaum dan menyanggah penyelewengan kuasa, rasuah dan ketidakdilan pembahagian kekayaan di kalangan rakyat. Pakatan Rakyat perlu dilihat suatu agenda politik semua kaum dan mempunyai masa depan cerah dan akan menentukan agenda Malaysia untuk semua rakyat berjalan dengan lancar.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons