Isnin, 2 Mei 2011

AHLI JAWATANKUASA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH SESI 2011-2013

Muktamar  Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah selesai diadakan pada 1 Mei 2011, Ahad bertempat di Dewan MPSPK, Tikam Batu, Sungai Petani. Pemilihan Jawatankuasa DPPNK yang baru juga telah berjalan dengan baik. berikut adalah senarai Saf Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah bagi Sesi 2011-2013.

Pengerusi Tetap : Ust Mohamad @ Fauzi bin Husin
Tim. Pengerusi Tetap : Tn Haji Adnan bin Saad

Ketua Pemuda : Ust Ahmad bin Yahya
Timbalan Ketua Pemuda : Tn Haji Muhammad Sanusi bin md Nor
Naib Ketua Pemuda : YB Ust Ahmad Izzat bin Hj Shauki

Ahli Jawatankuasa
1. Ust. Mohd Rosli bin Azmi
2. YB Ust. Mohd Nasir bin Zakaria
3. Ust. Mohd Azam bin Abd Samat
4. Tn Hj. Yusrin Zakri bin Adnan
5. Ust. Mohamad bin  Ismail
6. Mohd Helmi bin Khalid\
7. Ust. Mohd Yusuf bin Awang
8. Ust. Nasri bin Muarat
9. Ust. Salim bin Mhamud
10. Ust Saiful Syazwan bin Shafie

Pemeriksa Kira-Kira
1. Ibrahim bin Hj Soffian
2. Azri bin Omar @ Ahmad

Selasa, 26 April 2011

TEKS USRAH BULANAN (APRIL 2011)

KERTAS KERJA DASAR

USUL 20 HASSAN AL-BANNA:
SATU TINJAUAN UMUM (1)
 
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1. Kertas kerja ini adalah untuk memahami asas 20 Imam al-Banna secara umum dan 10 usul pertama secara khusus. Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.
2 – Saudara akan melihat kepentingan usul 20 dan kaitannya dengan gerakan Islam PAS
3 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.
  
Muqaddimah
Usul Isyrin (20) yang ditulis oleh ustaz Hasan al Banna ini adalah dianggap di antara tulisannya yang penting, kerana usul isyrin ini mengandungi beberapa perkara yang wajib dipercayai dan diketahui oleh setiap muslim dan wajib diikuti dalam tindak-tanduknya samada dalam hubungannya dengan al Khaliq atau hubungannya sesama manusia.
Usul isyrin ditanggap oleh para ulama sebagai penemuan penting kepada pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam abad kini yang ditimpa pelbagai penyakit kesan daripada kemunduran tamadun, kemudian keruntuhan khilafah Islamiyah terakhir di Turki. Al syahid Hasan al Banna telah mengumpulkan dan meringkaskannya, kemudian mengemukakan penyelesaian yang perlu diikuti oleh umat Islam demi kebangkitan semula umat Islam.
Beliau menekankan kepada persoalan pokok keruntuhan tamadun Islam yang berpunca daripada kegagalan umat Islam memahami Islam yang sebenar. Daripada kesilapan awal itulah lahirnya pemikiran yang salah dan  tindakan – tindakan yang bukan membangun, bahkan semakin menjauhkan dan mengeluarkan umat Islam daripada janji tuhannya. Pangkal usul isyrin adalah penyatuan umat Islam.
Dalam Usul Isyrin ini, beliau menerangkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku perselisihan pendapat (pertikaian) sesama umat Islam, terutama dalam hal-hal yang berkenaan aqidah. Ia mesti difahami sebagaimana yang terdapat di dalam al Quran dan  al Sunnah al nabawiyah.
Demikian juga dalam Usul Isyrin ini beliau telah menerangkan bahawa perbezaan pendapat adalah dibenarkan dalam perkara – perkara tertentu dalam ugama. Justeru pertikaian sesama sendiri yang membawa kelemahan dan kekalahan umat Islam boleh dielakkan jika mereka mengenal batas – batas yang telah ditentukan oleh syara’ dengan sempurna.        
Al mursyidul am dalam penyusunan kitab-kitabnya adalah benar dan menepati sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah  sallaLlahu alaihi wasallam. Walaupun demikian kita mesti ingat bahawa tidak ada orang yang maksum melainkan para rasul alaihimussalam.
PAS yang merupakan jaringan kepada gerakan Islam seluruh dunia yang bergerak seiring membina ketamadunan umat yang baru sentiasa menjadikan pengajaran tokoh mujaddid ini sebagai pedoman di dalam pembinaan ahlinya ke arah kesempurnaan.
Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat berpesan kepada ahli-ahli pemuda PAS agar membaca dan mengulang – ngulang buku Risalah al Ta’aalim oleh al imam al syahid yang menjadi rujukan penting pembinaan jamaah dan umat itu sehingga ia bersebati dengan mereka dalam kefahaman dan tindakan.
Berikut adalah pengenalan seimbas terhadap usul isyrin, semoga ianya akan membantu menghidupkannya di dalam ingatan, seterusnya mampu dilaksanakan di dalam mengurus perjuangan, insya Allah.

Usul Pertama
Islam adalah satu sistem yang menyeluruh dan mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Keterangan;
Usul pertama ini adalah asas paling utama. Ia memperkenalkan hakikat kesyumulan Islam pada maknanya yang asli. Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan. Hakikatnya, ianya begitu ganjil untuk difahami oleh umat Islam di zaman keruntuhan tamadun dan khilafah.
Umat Islam waktu itu diserang fahaman sekularisme yang dibawa oleh penjajah barat, lalu membutakan mereka daripada memahami nas – nas yang jelas. Hati umat menjadi tidak subur untuk Islam tumbuh dan berbuah dengan sempurna.
Al syahid Hasan al Banna telah datang menjelaskan hakikat dan telah mencurahkan tenaga yang banyak untuk menanam hakikat ini dalam jiwa umat Islam.
Ringkasnya, umat Islam mula melihat sesuatu yang telah lama menghilang iaitu tampilnya saudar muslim yang berada di mihrab dalam penuh khusyu’, tekun, menangis dan merendah diri. Lantas kemudiannya ia dilihat sebagai seorang penceramah yang menyampaikan dakwah dan peringatan yang mengetuk gegendang telinga. Selepas itu dia dilihat di padang sebagai seorang ahli sukan yang pantas, berlari dan membaling bola atau berenang. Selang beberapa ketika dia kelihatan di pasar dan di tempat kerjanya melaksanakan tugas degan penuh amanat dan dedikasi.
Begitulah gambaran seorang muslim yang lahir daripada kefahaman Islam yang syumul dan sempurna.

Usul Kedua
Al Quran al karim dan Sunnah al Rasul adalah merupakan sumber rujukan untuk memahami hukum-hukum Islam. Al-Quran hendaklah difahami menurut kaedah-kaedah bahasa Arab dengan tidak memberat - beratkan dan tidak pula membabi buta. Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat hadis yang thiqah dan dipercayai.
Keterangan;
Usul ini mempunyai kaitan dengan usul pertama. Selepas menegaskan kesyumulan Islam dalam segala aspek melalui usul pertama, usul kedua  ini pula menegaskan tentang sumber rujukan hukum - hakam bagi setiap aspek dan bidang kehidupan tersebut.
Walaupun terdapat sumber rujukan hukum yang lain seperti ijma’, qias dan istihsan, Hasan al Banna tidak menyebutnya dalam usul ini kerana mahu mengembalikan dan menyatukan umat Islam di atas dua sumber utama yang telah disepakati secara ijma’ oleh umat Islam tersebut. Lagi pula, sumber – sumber lain sebenarnya telah pun ditunjukkan dan disebut di dalam kedua – dua kitab utama tersebut.
Rujukan dalam memahami al Quran dan al hadis pula hendaklah melalui kaedah - kaedah bahasa Arabiyah dengan tidak memberat – beratkan atau meringan – ringankan secara membabi – buta. Ini adalah disebabkan al Quran telah diturunkan dalam bahasa Arabiyah. Begitu juga al Rasul yang bertutur dalam bahasa tersebut.
Oleh kerana cara capaian yang berbeza daripada al Quran, mengenali dan memahami al sunnah hendaklah pula bergantung kepada periwayatan daripada para ulama hadis yang thiqah dan dipercayai berdasarkan disiplinnya yang disepakati.
Sebenarnya, kegagalan memahami usul yang kedua inilah yang akhirnya menjebakkan umat Islam kepada kecelaruan di dalam memahami Islam yang akhirnya mencetuskan pertikaian yang tidak pernah luntur.

Ia juga telah membuka ruang kepada musuh – musuh Islam untuk memecah – belahkan umat Islam melalui tafsiran Islam yang bersumberkan otak manusia.

Usul Ketiga
Iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dicurahkan Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendakinya, manakala ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah menjadi dalil kepada hukum-hukum syara’. Ia tidak boleh diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum dan nas ugama.
Keterangan;
Usul ketiga ini memanjangkan maksud usul kedua. Selepas menerangkan kewajiban bersumberkan dua rujukan utama di atas, usul ketiga menjelaskan beberapa perkara yang dianggap oleh segolongan umat Islam sebagai sumber rujukan tambahan, bagaimanakah dakwaan tersebut boleh thabit dan diterima atau gugur dan tertolak.
Ia menjelaskan bahawa iman yang teguh, ibadah yang sahih berserta mujahadah yang berterusan mampu memberikan kesan – kesan yang baik terhadap individu tersebut. Allah akan mengurniakan cahaya yang mampu menyuluhnya mengenali kebaikan yang tidak dilihat orang biasa. Dia juga akan mengecapi kemanisan iman yang luar biasa hasil usahanya bertaqarrub kepada Allah.
Maka berlakulah kurniaan ilahi seperti ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi yang benar ke atas hamba – hamba pilihanNya. Ia thabit dan tak boleh ditolak oleh umat Islam. Meskipun demikian, ianya bukanlah menjadi sumber hukum dan dalil kepada hukum syara’ yang berdiri sendiri. 
Jika ditanya, apakah faedah kewujudannya? Jawabannya adalah ya, ia diterima sekiranya tidak bertentangan dengan al Quran dan al Sunnah, lalu ia hadir untuk menguatkan kesahihan kedua – duanya. Ia menjadi cahaya di atas cahaya. Kesemua kurniaan tersebut adalah bersifat dzanni ( sangkaan ) yang belum terjamin kesahihannya.
Daripada usul ini diperhatikan beberpa perkara:
1)       Menjaga sumber hukum syara’ kekal bersih daripada percampuran yang meragukan.
2)       Kesederhanaan Hasan al Banna di antara menerima dan menolak kurniaan ilahi tersebut.
3)       Bertujuan menutup pintu daripada dimasuki dajal – dajal yang bertujuan mempermainkan pemikiran umat Islam.
4)       Menyelamatkan umat daripada terperangkap dengan perkara – perkara khurafat.

Usul Keempat
Tangkal, azimat, jampi mentera, tenung, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jampi daripada ayat - ayat al Quran atau jampi yang ma’thurat dan diterima daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Keterangan;
Usul ini menumpukan kepada usaha membersihkan akidah umat Islam daripada kekeruhan, membebaskan hati daripada waham, dzan dan khurafat. Ia sering terjadi apabila kejahilan melata di kalangan umat Islam. Ia menyerang hati, pemikiran dan harta orang miskin.
Usul ini menjelaskan hakikat kesalahan umat Islam yang bergantung kepada unsur – unsur syirik yang menjauhkan hubungan dengan al Khaliq. Justeru umat Islam mestilah meninggalkan segala bentuk kepercayaan dan khurafat yang akan membantutkan kebangkitan mereka ke arah kemajuan yang diredhai.
Perkara – perkara tersebut diharamkan kerana ia bertentangan dengan akidah bahawa sanya yang memberi manfaat dan mudarat hanyalah Allah yang esa. Tiada pula yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah. 

Usul Kelima
Pendapat imam (ketua) dan timbalannya dalam perkara yang tidak ada nas atau nas yang menerima pengertian yang pelbagai adalah diterima. Demikian juga pendapatnya dalam perkara yang berhubung dengan maslahat umum, ia boleh diterima dan diamalkan sekiranya pendapat tersebut tidak bertentangan dengan kaedah syariat. Pendapat  tersebut boleh saja berubah menurut keadaan, persekitaran dan adat. Asal ibadat adalah taabbud (pengabdian diri) tanpa perlu melihat kepada makna yang tersirat, hikmat dan tujuan ibadat tersebut.
Keterangan;
Ini adalah usul yang menerangkan mengenai siasah syar’ieyah, perkara yang harus atau sebaliknya bagi seorang imam/khalifah atau naibnya seperti menteri, qadhi dan ketua tentera.
Siasah syar’ieyah penting dijaga garisannya agar tidak berlaku perlanggaran yang boleh meminggirkan hukum – hukum yang jelas nasnya, menjejaskan hak – hak dan membuka ruang kepada pintu – pintu kejahatan dan kerosakan.
Seorang imam mestilah memiliki sifat – sifat tertentu. Paling penting memiliki pengetahuan yang mendalam tentang syariat Allah dan hukum – hukumNya. Dia mestilah ikhlas dan bukan mengikut hawa nafsu sekiranya dia bukan ahli ijtihad.
Ijtihad imam boleh berlaku pada perkara yang tiada nas, atau dalam keadaan wujud nas yang mempunyai andaian tafsiran yang berbeza, atau dalam perkara yang tidak disentuh nas yang menarik kebaikan dan menolak keburukan. Ia disebut al masoleh al mursalah.
Walaupun imam itu wajib dipatuhi tetapi ia mestilah dalam ruang lingkup ketaatan kepada Allah. Pilihan imam dalam perkara yang tiada nas tidak boleh diingkari.
Usul ini menjelaskan satu kaedah penting; Semua ibadah yang disyariatkan dan ditetapkan masa, tempat, syarat dan sebagainya adalah suatu yang bersifat taabbudi iaitu mematuhi perintah Allah semata – mata tanpa berpaling kepada hikmah, rahsia dan sebab disyariatkan. Walau bagaimanapun, kita beriman bahawa segala ibadah yang disyariatkan tetap ada hikmahNya yang hanya diketahui olehAllah.

Rabu, 30 Mac 2011

TEKS USRAH BULAN MAC 2011

KERTAS KERJA DASAR
 SYURA ISLAM DAN DEMOKRASI
 
Oleh : Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1. Kertas kerja ini adalah untuk memperkenalkan syura di dalam Islam dan kaitannya dengan demokrasi secara umum . Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.

2 – Saudara akan melihat bagaimana PAS mengadaptasi demokrasi sebagai salah satu wadah perjuangan

3 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.

" Syura menjadi sunnah Nabi Muhammad apabila ia dilaksanakan semasa mengedalikan urusan agama dan masyarakat.
DALAM PERKARA SYURA atau mesyuarat, ada titik persamaan di antara Islam dan demokrasi walaupun di dalamnya ada beberapa perbezaan dalam aspek merealisasikan prinsip dan konsep.
Islam bergantung kepada asas akidah, syariat dan akhlak samada dalam perkara hukuman putus ( qat'iyyat ) atau perkara yang tetap ( thawabit ) serta perkara ijtihad dan pembaharuan. Sementara itu, demokrasi barat mengalami perubahan dari segi prinsip dan konsepnya kerana sifat sekularnya yang hanya bergantung kepada akal manusia semata-mata.

Mungkin dalam perkara akal yang mengubah demokrasi boleh disesuaikan dengan perkara ijtihad dan pembaharuan yang ada dalam ajaran Islam. Ini bererti perbezaan wujud apabila syura Islam diikat oleh wahyu sebelum akal sedangkan demokrasi barat melepaskan akal untuk kekuasaan mutlak.
Syura dalam ajaran Islam bersumberkan kitab Allah dan Sunnah Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Amalannya pula merangkumi dalam segala aspek kehidupan masyarakat Islam hasil daripada cabang , kaedah-kaedah, hukum - hukum dan pengajaran yang banyak di sepanjang perjalanan para anbia' dan orang - orang salih, serta iktibar daripada golongan kufur yang tegak di atas kebatilan. Islam hendak menunjukkan yang syura adalah senjata berfaedah apabila digunakan dengan betul.
Kaedah ini walau bagaimanapun boleh disalahgunakan apabila mengalami kelemahan dan manusia itu boleh bertukar menjadi seorang diktator secara kolektif atau individu. Situasi begitu pernah berlaku di zaman dahulu dan juga abad ini.

Islam membariskan syura antara jalan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad dengan panduan wahyu di peringkat Mekah dan Madinah. Allah berfirman dalam surah asy-Syura, ayat 36 hingga 39 yang bermaksud;
“Maka apapun yang dikurniakan kepada kamu itu adalah kenikmatan hidup di dunia dan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang – orang yang beriman dan hanya kepada tuhan mereka bertawakkal. Dan ( bagi ) orang – orang yang menjauhi dosa besar dan perbuatan – perbuatan keji dan apabila mereka marah mereka memberi kemaafan.     Dan ( bagi ) mereka yang menyahut seruan tuhannya dan mendirikan solat sedang urusan mereka ( diputuskan ) dengan mesyuarat antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang kami kurnikan kepada mereka.”
Ayat-ayat ini diwahyukan di Mekah sebelum terbentuknya negara Islam dan ini menunjukkan amalan syura dilakukan sejak awal dan selaras dengan amalan-amalan yang lain.

Allah berfirman di dalam surah Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud;
“Maka dengan sebab rahmat Allahlah kamu telah berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada kamu. Kerana itu maafkanlah mereka. Mohonkanlah keampunan buat mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang – orang yang bertawakkal kepadaNya.”
Ayat ini pula diwahyukan di Madinah , sesudah tertubuhnya negara Islam. Allah memerintahkan secara wajib mengadakan mesyuarat semasa mengendalikan urusan yang diizinkan. Dan menggunakan akal fikiran yang bijak secara kolektif dalam perkara yang tidak diwahyukan.

Daripada ayat-ayat itu, dapat difahami secara wajib ke atas Nabi Muhammad yang sudah mendapat petunjuk dan jaminan wahyu daripada Allah supaya bermesyuarat. Sementara itu, kepada pemimpin masyarakat Islam yang bukan rasul menjadi lebih wajib. Daripada ayat-ayat itu ditujukan kepada masyarakat Islam secara umum dengan menyebut syura setaraf dengan amalan ibadah, sifat dan akhlak yang mulia.

Syura menjadi sunnah Nabi Muhammad apabila ia dilaksanakan semasa mengendalikan urusan agama dan masyarakat . Peristiwa perang Badar dan perang Uhud yang menghadapi keadaan genting, membincangkan cara mengendalikan tawanan semasa menang, perbincangan cara mengumumkan waktu solat yang melahirkan azan, menghadapi fitnah terhadap Siti Aisyah, isteri Nabi Muhammad dan lain-lain adalah menjadi dalil perintah wajib amalan syura yang diamalkan oleh Nabi Muhammad.

Para khalifah yang meminpin kerajaan Islam berpegang dengan cara pemerintahan Islam yang sebenar di sepanjang perjalanan sejarah kecemerlangannya. Mereka melaksanakan syura apabila menghadapi masalah yang tidak ada dalil atau bagi melaksanakan dalil dengan bijaksana.
Para sarjana Islam tafsir, hadis dan fikah menegaskan hukum wajib ke atas pemerintah melaksanakan syura dengan ahli ilmu yang kuat berpegang dengan Islam. Kalau tidak melaksnakannya boleh dipecat kerana dikira meninggalkan sebahagian daripada ajaran Islam yang penting dan menjadi angkuh dan mudah berlaku zalim. 
Walupun syura sudah dikenali sejak zaman berzaman, ia juga berlaku dalam masyarakat barat di zaman purba dan masyarakat jahiliah Arab namun ada perbezaan sejarah di antara Islam dan Barat. Ahli sejarah politik barat memulakan kajian mereka mengenai permesyuaratan daripada sejarah Greek Purba dan Rom iaitu amalan mesyuarat berlaku dengan cara yang terhad dan dalam perkara tertentu.

Al-Quran pula menceritakan mesyuarat dilakukan oleh Nabi Sulaiman dan Zulkarnain yang memimpin dua negara yang diredhai Allah. Ini juga dilaksanakan oleh Firaun dan ratu Balqis sebelum menganut Islam. Ini menunjukan amalan mesyuarat ini berlaku sejak dahulu di kalangan manusia yang beriman dan kufur dengan tujuan yang berlainan.

Syariat Islam menetapkan syura menjadi dasar yang diberi hak kepada pemerintah dan jamaah supaya menentukan kaedah yang sesuai dengan syarat penilaian yang membawa kemaslahatan yang tepat dan tidak mendatangkan mudarat kepada rakyat dan pemerintah .

Dalam menentukan keputusan yang diambil daripada syura itu boleh diambil kira sama ada pendapat majoriti atau hujah yang lebih kuat.

Islam mendahului demokrasi Barat sejak sebelas abad dengan sistem syura melalui majlis permesyuaratan yang teratur dengan mengambil pandangan majoriti dan tidak mensia-siakan pandangan minoriti. Ada juga pandangan daripada segelintir orang yang lebih bijak dan matang boleh menjadi keputusan.
Perjalanan hidup para nabi dan sejarah para sahabat dan tabi’ien menunjukan cara berlangsungnya syura dalam urusan negara dengan melibatkan ahli - ahli mesyuarat di kalangan para sarjana Islam dan pemimpin masyarakat yang kemudiannya mematuhi keputusannya.

Demokrasi Barat mengalami reformasinya daripada pengaruh Greek purba dan Rom dan dikatakan mula bertolak daripada revolusi Perancis yang menjadi perubahan kepada cara politik di dunia Barat. Negara England melaksanakannya pada abad ke 17, Amerika Syarikat selepas pertengahan abad ke 18 dan Perancis pula menjadikannya sebagai perundangan permesyuaratan pada akhir abad ke 18.

Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 – Islam mendahului demokrasi Barat sejak sebelas abad dengan sistem syura

Panel:
1 )  Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 )  Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 )  Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 )  Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 )  Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 )  Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 )  Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre

Selasa, 15 Mac 2011

PAS menang saman Ketua Polis RM200 ribu


KUANTAN 15 MAC : Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu lapor Harakah Daily.

Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi.

Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri.

Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam.

Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap.

Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAS tersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut.

Dr Hatta yang juga Bendahari PAS Pusat dan ahli Parlimen Kuala Krai, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan.

Rabu, 2 Februari 2011

LAMAN RASMI HIMPUNAN 30,000 PEMUDA PAS MALAYSIA

Laman rasmi Himpunan 30,000 Pemuda PAS Malaysia atau H30K.

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons