Jumaat, 21 November 2008

HKC desak Othman letak jawatan semula

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
sukan@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN ahli HKC berkumpul di pekarangan Stadium Darul Aman semalam bagi
mendesak Othman melepaskan semula jawatannya.
KELAB Penyokong Hijau Kuning (HKC) menyelar tindakan Datuk Othman Aziz yang menarik balik peletakan jawatannya sebagai pengurus pasukan bola sepak Kedah bagi musim 2009.

Pada 12 November lalu, Othman membuat keputusan mengejut apabila melepaskan jawatannya selepas dua musim membimbing Kedah dengan penuh cemerlang.

Namun dua hari kemudian, Othman menarik balik keputusannya itu, sekali gus menimbulkan pelbagai tanggapan di kalangan peminat setia skuad Hijau Kuning.

Timbalan Presiden HKC, Romzie Hassan berkata, Othman sewajarnya berpegang teguh dengan keputusan awalnya memandangkan dia kini dikaitkan dengan beberapa dakwaan penyelewengan dana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) serta penyalahgunaan kuasa.

Dakwanya, arahan supaya Othman menarik balik peletakan jawatannya itu tidak dibuat oleh mesyuarat majlis KFA, sebaliknya hanya kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden KFA, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Dakwa Romzie lagi, HKC juga tidak yakin Othman dapat menjalankan tugasnya dengan baik kerana dia dilaporkan tidak lagi bersama skuad Kenari sejak penghujung Liga Malaysia (Liga M) lalu.

"Jika seorang pengurus tidak bersama pasukan bagaimanakah dia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik demi masa depan skuad ini.

"Bukan setakat itu, malah HKC juga menyoal beberapa tindakan Othman yang bertentangan dengan kemajuan pasukan," tegas Romzie ketika berkumpul bersama 20 ahli HKC yang lain di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Star semalam.

Jelas Romzie, antara tindakan Othman yang dipersoalkan ialah melepaskan bekas pemain tengah, Bunyamin Umar ke kelab UPB-MyTeam selain membenarkan Badrol Bakhtiar menimba pengalaman di Chelsea tanpa pengetahuan ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah.

"Selain itu, kami mempersoalkan mengapa beliau (Othman) membenarkan Zairol Fitree pulang ke negeri kelahirannya, Kelantan selepas beberapa bulan menyertai skuad Kenari.," kata Romzie.

Romzie berkata, HKC turut mencadangkan jawatan pengurus itu diberikan kepada Azraai yang telah mengemudi Kedah muncul juara treble dalam tempoh dua musim berturut-turut sebelum ini.

"Kami yakin jawatan ini hanya layak diberikan kepada Azraai memandangkan beliau berjaya menguruskan Kedah dengan baik ketika Othman menghilangkan diri sebelum ini," ujarnya.
Othman didesak letak jawatan
oleh Utusan

ALOR STAR - Kelab Penyokong Hijau Kuning, Hijau Kuning.Com (HKC) meminta Datuk Othman Aziz melepaskan semula jawatan sebagai pengurus pasukan bola sepak Liga Super Kedah demi kepentingan semua pihak.

Timbalan Presiden HKC, Romzie Hassan Hussin berkata, jika Othman meneruskan niat untuk menjadi pengurus pasukan bola sepak Kedah ia bakal membawa 'malapetaka' kepada skuad Kenari itu.

"Kami bukan mahu mencabar keputusan pihak istana yang mahu mengekalkan Othman sebagai pengurus, namun kami mahu beliau mengotakan janji untuk berundur," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Terima kasih khusus untuk TV3....

Kenytaan Akhbar

Dialog Penerangan Dan Dasar Kerajaan Negeri Kedah

Jutaan terima kasih khusus untuk TV3 diatas usaha gigih menyiarkan secara terperinci dan eksklusif laporan dalam Buletin Utama program yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah bertempat di Dewan Dato’ Fadhil Noor Komplek PAS Kedah baru-baru ini.

Juga dirakamkan ucapan terima kasih kepada individu yang berusaha menyalurkan maklumat kepada pihak TV3.

Secara tidak langsung penyiaran ini memberikan ‘political mileage’ dan publisiti secara percuma kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di Kedah yang selama ini cuba dihindarkan.

Walaupun cara pemberitaan yang digarap lebih bercorak untuk memutar-belit dan menyelirukan rakyat namun hakikatnya telah mempromosi akan ketelusan dan keterbukaan PAS dalam mentadbir kerajaan negeri yang telah diamanahkan.

Ahli – ahli parti khususnya dan rakyat amnya diberi ruang serta kebebasan secukupnya untuk mendapat penerangan tentang dasar pentadbiran kerajaan negeri. Mereka juga dibenarkan mengemukakan pandangan, persoalan dan teguran secara terus sekiranya terdapat sebarang keraguan maupun ketidakpuasan hati bagi mendapatkan penjelasan dari Menteri Besar sendiri.

Untuk rekod, program seperti ini telah dianjurkan sebanyak tiga ( 3 ) kali dalam tempoh lapan ( 8 ) bulan Pakatan Rakyat mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri dari rejim Umno/Bn.

Ironinya rejim Umno/Bn yang telah mentadbir kerajaan negeri selama lebih lima puloh ( 50 ) tahun tidak pernah sekalipun menganjurkan program seumpama ini.Tidak hairan kenapa terdapat banyak kepincangan yang berlaku sehingga membuatkan rakyat merasa muak dan menghukum rejim Umno/BN dalam PRU12 yang lalu.

Penganjuran program seumpama ini jelas menunjukkan keikhlasan kepimpinan dan ahli-ahli parti untuk bermuhasabah dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Secara langsung mempraktis dan menyuburkan fungsi ‘check and balance’ yang menjadi teras kepada corak kepimpinan yang cekap, telus dan bertanggungjawab.

Adalah amat dialu-alukan kepada TV3 untuk terus membuat liputan yang eksklusif atau siaran secara langsung program ini dimasa-masa depan agar rakyat mendapat maklumat disamping membantu mempromosi kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Kedah khususnya dan PAS amnya.

Ustaz Musoddak bin Hj. Ahmad
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah"

ISU MB PERAK RAMPAS KAMERA WARTAWAN

http://misabah.blogspot.com

IPOH : Seperti yang dijangkakan, media akan memainkan isu ini. Peluang untuk memberi penjelasan tidak pula diberi. Saya, bersama Setiausaha Akhbar, Anuar Hashim, Ust. Nor Azli Musa dan seorang lagi kebetulan ada di tempat kejadian.

Kami bersama MB sedang makan tengahari, bila seorang yang tidak dikenali menghampiri MB membawa surat meminta MB menandatangani. Beliau memperkenalkan dirinya dan MB membaca sepintas lalu dan seakan bersetuju menandatangani. Tetapi kami serentak mencelah, supaya tidak ditandatangani dulu dan meminta MB lihat keseluruhan isi surat tersebut terlebih dahulu

Dalam masa yang sama kami terlihat seorang jurufoto yang tidak dikenali sedang mengambil gambar. Kami mengesyaki ini adalah suatu perangkap dimana nanti akan keluar gambar MB menandatangani sesuatu yang boleh di ambil kesempatan untuk memburuk imej MB yang menandatangani sekeping surat yang tidak diketahui latar belakangnya di kantin.

Lantas MB panggil jurufoto tersebut lalu bertanya dari akhbar mana ; sama ada telah minta kebenaran atau tidak mengambil foto.Tetapi jurufoto tersebut semacam tidak ambil peduli .MB memanggilnya sekali lagi dengan nada yang agak kuat sikit, tetapi tidaklah sampai panggil 'Hoi' sebagaimana yang didakwa.

MB minta rakaman foto tadi dibuang. Untuk mempastikan foto tersebut dibuang, MB minta kamera tersebut diserahkan kepada Anuar Hashim,Setiausaha Akbarnya yang duduk di sebelah saya, dan meminta Anuar pastikan gambar tersebut dibuang.

Kamera itu diserah semula kepada jurufoto itu dengan baik. Kami beritahu pembawa surat tersebut supaya dalam urusan seumpama itu, supaya datanglah ke pejabat, kami akan rekodkan surat tersebut, satu salinan kami simpan dalam fail, soal MB nak sain tak nak sain itu soal lain

Pembawa surat tersebut faham, dan ternyata dia menyerahkan surat tersebut kepada Setiausaha Sulit MB di pejabat. Itu baru betul. Pagi esoknya, saya tengok surat tersebut sudah ada diatas meja MB.

Telahan kami tepat, tidak sampai pun beberapa minit kemudian, suara seorang ADUN Pembangkang yang sangat dikenali dari Kubu Gajah, tidak semena-mena membangkitkan isu ini di dewan dengan membuat pencelahan sewaktu seorang ADUN lain sedang membahaskan Bajet 2009. Saya tidak kenal pasti siapa ADUN yang sedang berucap ketika itu. Kubu Gajah menghentam MB Perak kerana kononnya bertindak kasar kepada wartawan sedangkan Kubu Gajah tidak berada di tempat kejadian.

Walaupun ada beberapa orang ADUN BN di kantin sewaktu kejadian tersebut berlaku; saya amat pasti Kubu Gajah tidak ada di situ. Saya sangat mengenalinya kerana ia memang popular dengan sikap kurang ajarnya di Parlimen dan dibawanya ke DUN.

Saya akan semak dalam kertas minit dewan apa yang diucapkan oleh ADUN Kubu Gajah dan akan siarkan supaya para pembaca dapat menilai sendiri ucapannya ; bahawa inilah perangai UMNO BN, mengambil kesempatan apa sahaja yang boleh dijadikan isu untuk memburukkan MB dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Harga minyak RM2, rakyat bayar cukai 38 sen seliter

Harakahdaily.net

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) - Kerajaan disifatkan seperti 'Along' yang memungut hutang apabila hanya menurunkan harga minyak pada kadar RM2 walaupun harga pasaran di pam ialah RM1.62 sen.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kerajaan berbuat demikian hanya untuk mengutip kembali rebat tunai minyak yang pernah diberikan ketika harga minyak melambung beberapa bulan lalu.

"Kini kerajaan umpama Along, turunkan harga minyak jadi RM2, sedangkan Menteri KPDNHEP, Dato' Shahrir Samad mengakui harga sepatutnya di pam ialah RM1.62 sen tanpa subsidi kerajaan," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Mahfuz, dengan harga minyak RM2 juga, rakyat terpaksa membayar cukai kepada kerajaan sejumlah 38 sen seliter, dan inilah cara kerajaan mengutip kembali rebet yang pernah diberikan.

Tidak dinafikan kerajaan masih terus memberikan rebet tersebut hari ini apabila rakyat memperbaharui cukai jalan, namun sedikit demi sedikit kerajaan mengutipnya dengan cara cukai 38 sen seliter, dakwa Mahfuz.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifly Ahmad bersetuju dengan fakta bahawa rakyat membayar harga minyak pada kadar RM2 seliter ini dengan turut membayar cukai kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika mencelah dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Parlimen padi tadi.

Mengulas lanjut perkara yang ditimbulkan di Dewan Rakyat itu, Dr Dzulkifly menyatakan, penyelididkan yang dibuat PAS mendapati rakyat sebenarnya tidak lagi perlu dibayar oleh kerajaan untuk menanggung harga minyak.

"Satu tong minyak mentah yang ada 159 liter tergantung kepada convertion ratio nya menunjukkan samada kita guna minyak mentah pada harga USD 60 atau USD 70 satu tong,

"Kedua-dua nya menunjukan harga pada pam (stesen minyak), kalau diambil kira USD 60 setong harga di pam ialah RM1.32 sen seliter, kalau harga ambil USD 70 setong maknanya RM1.64 sen seliter," katanya.

Kini harga minyak berada pada sekitar USD 60 hingga USD 70 setong, justeru kata Dr Dzulkifly menyatakan kerajaan tidak lagi beri subsidi kepada rakyat.

Sebaliknya pada harga minyak di pam seliter RM2.00 yang diumumkan kerajaan hari ini makanya rakyat lah yang membayar cukai kepada kerajaan, katanya.

Dalam jawapannya, Menteri KPDNHEP, Dato' Shahrir Samad mengakui hakikat yang dinyatakan Dr Dzulkifly bahawa harga minyak pada harga pam hari ini menyebabkan rakyat membayar cukai.

Ujar Shahrir, apapun yang dilakukan dalam perkiraana ia harus dimasukkan margin, seperti mana sebenarnya pada 17 November bila kita buat perkiraan harga purata mengikut USD 63.1 dan harga tanpa subsidi dalam RM1.62,

"Saya dah maklumkan, dan sebenarnya juga pada Oktober dua minggu pertama harga pada peringkat USD85.48 dan dua minggu akhir Oktober ialah pada 76.45 USD.

"Kalau kita lihat Oktober sahaja harga tanpa subsidi RM2.26 sen, ini bermakna harga komersil,. dan ketika itu dalam Oktober kita turunkan pada RM 2.15 sen," jelas Shahrir.

Menurut Shahrir pada September harga tanpa subdsidi ialah pada RM2.77 sen tetapi harga di pam 2.45 sen sementara pada Ogos RM 2.85 sen namun kerajaan turunkan kepada RM2.55 sen.

Ujar Shahrir lagi, bagi bulan Ogos, September dan Oktober harga yang di pam ialah lebih rendah daripada harga komersil.

Dalam keadaan itu kerajaan memberikan subsidi yang dijanjikan di bawah skim penstrukturan semula subsidi, katanya.

Tetapi pada bulan Oktober harga minyak turun dengan cepat, subsidi yang ditawar kerajaan untuk petrol sahaja telah kurang daripada RM344 juta Spetember kepada RM15 juta.

Dalam kes penurunan pada bulan November hari ini harga pada RM2 bukanlah subsidi yang dibayar rakyat kepada kerajaan sebaliknya ialah cukai. _

Belanjawan 2009: Kedah gariskan empat strategi

Bashir Ishak
Wed | Nov 19, 08 | 8:02:22 am MYT

ALOR STAR, 19 Nov (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak semalam membentangkan Belanjawan 2009 bagi negeri Kedah bertemakan 'Kedah Sejahtera'.

Belanjawan 2009 ini menggariskan empat strategi berdasarkan senario ekonomi semasa dan keperluan menjayakan program-program yang ditentukan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Empat strategi tersebut ialah; Merangsang pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat, meningkatkan kesejahteraan rakyat, Memantapkan Modal Insan dan Pembangunan Sosial dan Memperkukuhkan Jentera Pentadbiran Negeri.

Bajet yang dibentangkan ini berjumlah RM 1,287,492,417 merangkumi anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM505,007,757, anggaran pembangunan sebanyak RM 425,990,370 dan anggaran bekalan air sebanyak RM356,494,290.

Manakala kerajaan negeri menganggarkan hasil yang bakal dikutip sebanyak RM487,478,010. Ini merangkumi Hasil cukai sebanyak RM261,403,403,530; hasil bukan cukai RM57,902,310 dan Terimaan Bukan Hasil RM168,172,170.

Anggaran hasil kerajaan negeri untuk tahun 2009 meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding tahun lalu (RM484,955,785).

Defisit yang dianggarkan pada tahun hadapan ialah sebanyak RM17,529,747. Sidang Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Kedua Belas bermula semalam dengan dirasmikan oleh Tuanku Sultan Kedah. - mks._

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons