Memaparkan catatan dengan label siri tarbiah -1. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label siri tarbiah -1. Papar semua catatan

Selasa, 11 November 2008

Pembinaan Peribadi Pemimpin Dan Ahli Di Era Kemenangan

Tazkirah Kiriman Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad

Sewaktu menang pemimpin dan pengikut adalah merupakan orang yang bertanggung jawab untuk mempertahankan kemenangan. Samatelah lagi yang bernama pemimpin menjawat jawatan Menteri besar, exco, wakil rakyat. Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan wajib seluruh anggota mempertahankan kemenangan dan mengekalkan kemenangan untuk kita melaksanakan tanggungjawab kepada agama Allah SWT dalam kemampuan dan batasan yang ada. Program tarbiah tidak tamat apabila kita sudah mencapai kemenangan, kerana ujian sewaktu menang lebih hebat daripada waktu tidak menang. Antara perkara yang perlu kita sama-sama lakukan dan titik beratkan dalam pembinaan peribadi pemimpin dan ahli ialah

Muraqabah dengan Allah SWT

Semua di kalangan anggota parti mesti melakukan muraqabah dengan Allah, melalui amalan-amalan sunat, beruzlah (mengambil sedikit masa untuk tumpuan ibadah) dari kesibukan dunia untuk mendapat ketenangan dan memohon supaya Allah memberi kekuatan dalam menjalankan amanah. Inilah senjata yang paling utuh perlu diterap dalam jiwa para ahli terutama di kalangan pimpinan.


Caranya:
-Membanyakkan amalan fardiah supaya dapat membersihkan diri dan jiwa dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, puasa dan amalan-amalan yang boleh menjadi nilai tambah kepada kita. Godaan syaitan dan iblis cukup kuat untuk merosakkan perjuangan ketika kita menang.

-Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Kata-kata Saidina Umar RA

-Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Kata-kata Saidina Umar RA.


Qudwah hasanah

Suri contoh teladan yang baik adalah senjata yang paling berkesan untuk mengajak orang kepada perjuangan dan menyakinkan apa yang kita bawa. Kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.



Kisah seorang Yahudi bernama Zaid bin Saanah memiliki hutang pada Rasulullah SAW dua atau tiga hari sebelum sampai tempoh pembayarannya, beliau dan beberapa sahabatnya bertindak dengan kasar dan caci nista untuk meminta hutang. Saidina Umar yang ada pada waktu itu hendak pancung si lelaki tersebut. Baginda SAW melarang sebaliknya menyuruh Saidina Umar menjelaskan hutang dan di tambah 20 gantang tamar. Maka yahudi itu hairan, dan bertanya kenapa? maka Saidina Umar memberi tahu sebagai ganti kepada perbuatanku yang telah menggerunkan engkau. Akhirnya Yahudi tersebut memeluk Islam dan sebahagian hartanya disedekah kepada umat Muhammad SAW.


Kita pernah dengar bagaimana seorang masuk Pas kerana melihat al-Marhum Ustaz Fadhil Nor sebagai Presiden Pas berbaris dengan orang ramai walaupun ada orang menjemput beliau memotong giliran.


Bagaimana orang hendak ikut kita sedangkan kita sendiri lemah yang tidak memaparkan akhlak yang tinggi. Kita tidak mahu orang menjauhi kerana tidak ada suri teladan yang baik, dengan ini mendatangkan rugi kepada jama’ah. Watak ini jangan ada seperti kita mengajak orang lain berjihad sedangkan ia tidak. Mengajak orang lain berkorban sedangkan beliau sendiri bakhil. Jika kita mahu mengajak orang lain mengutamakan orang lain maka kita perlu tunjukkan dahulu sebelum menyuruh orang lain. Mengajak anak orang, isteri orang lain untuk berjuang sedangkan keluarganya mendiamkan diri di rumah dan tidak memberi galakan kepada mereka untuk mempertahankan kemenangan.




Firman Allah SWT
“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan ) kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir?” (al-Baqarah: 44)


Caranya:-Banyak mengambil iktibar daripada akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat sewaktu menang


-Banyak membaca kisah nabi-nabi SAW, para sahabat dan ulama’ serta pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia kerana ini akan memberi motivasi kepada jiwa kita untuk meniru mereka.

-Jangan menunjuk lambang kemewahan, kerana orang benci terutama pengikut dan petugas kita di peringkat bawah. Kita bimbang jika jama’ah memerlukan wang kita tidak boleh beri wang sedangkan mereka melihat kita bergaya dengan kemewahan. Semua ini akan menghakis thiqah pengikut dan orang awam kepada kemenangan kita. Maka mereka menuduh kemenangan kita tidak mempunyai erti kepada perjuangan Islam. Bukan mustahil semangat mereka untuk bekerja kearah untuk mengekalkan kemenangan akan luntur. Kita tidak bimbang musuh benci kepada Pas, yang paling kita takut ialah apabila petugas marah dan tidak bekerja untuk mengekalkan kemenangan dalam PRU akan datang.


-Banyak muhasabah diri dan merasakan kelemahan yang terlalu banyak pada diri dan berusaha untuk meningkat.

-Bersedia untuk menerima teguran, kerana kelemahan sendiri agak sukar untuk melihat dengan ini kita memerlukan orang lain yang memerhatikannya.

-Kena suruh anak dan isteri kita bertungkus lumus bersama dengan perjuangan untuk memasti kemenangan dikekalkan dengan ini mendorong petugas bertambah semangat untuk bekerja seperti baginda SAW bersama menggali parit ketika berlaku peperangan Ahzab dalam bulan syawal tahun 5 hijrah. Walaupun sahabat suruh baginda berehat, namun baginda tidak mahu berbuat demikian semata-mata untuk memberi semangat kepada sahabat yang lain dalam mempertahankan kota Madinah.


-Aurat anak isteri mesti dijaga, kerana ini adalah penilaian awal masyarakat kepada perjuangan kita. Memelihara aurat adalah lambang yang membezakan kita dengan perjuangan orang lain. Pakaian adalah tanggapan awal untuk orang thiqah dengan perjuangan yang kita bawa. Masyarakat akan tawar hati apabila ia melihat ketika berdegar-degar bercakap tentang Islam dan menyeru kepada perjuangan Islam, sedangkan anak isteri punya pakaian tidak melambangkan apa yang diucap.


Penulis adalah AJK PAS Pusat

Isnin, 3 Disember 2007

SIRI TARBIAH-1 UKHUWWAH ISLAMIYAH

Oleh : Ust. Mohd Zainal Asri bin Hj. Romli,
Naib Ketua DPPNK


MUQADDIMAH


Firman Allah Swt. Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang)
kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban
orang, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang
lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging
saudaranya yang telah mati? Jika begitu keadaan mengumpat, sudah
tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu patuhilah larangan Allah. Dan
bertaqwalah, sesungguhnya Allah itu Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani.” (al-Hujurat:12)

Ayat yang dibentangkan ini menjurus kepada pembinaan suatu unsur yang terpenting di
dalam jamaah, iaitu unsur ukhuwwah Islamiyyah.

UKHUWWAH ISLAMIYAH

Ukhuwwah adalah nikmat berharga yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang
beriman di dalam saf perjuangan. Ia tidak dapat dijualbeli dengan wang ringgit dan harta
benda dunia. Ukhuwwah adalah suatu rasa yang diciptakan oleh Allah di dalam hati
orang-orang yang beriman. Firman Allah :

Maksudnya:
“Seandainya engkau belanjakan apa yang ada di bumi semuanya,
tidaklah mampu engkau persatukan antara hati mereka, tetapi Allahlah
yang telah mempersatukan antara mereka.” (al-Anfal:63)
Demikian juga, jika Allah mengkehendaki untuk merapat dan memesrakan di antara
hati-hati yang beriman itu, maka ukhuwwah pun diciptakan oleh Allah di dalam hati
hamba-hambaNya yang beriman itu. Firman Allah:

Maksudnya:
“Sebenarnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di
antara dua saudara kamu yang bertelagah. Bertaqwalah kamu kepada
Allah agar kamu dirahmati oleh Allah.” (al-Hujurat:10)
Dari ayat ini terlihat jelas bahwa ukhuwwah hanya terbina di atas dasar iman atau
tauhid, bukan di atas ikatan-ikatan yang selain daripada itu. Justeru hanya Allah yang
dapat menyatukan hati-hati di kalangan manusia, dan hati-hati manusia itu pula akan
bersatu di atas landasan tauhid. Oleh itu, lafaz yang disebutkan di dalam ayat ini adalah
mukmin, bukanlah hanya muslim sebagai syarat pembinaan ukhuwwah tersebut.
Firman Allah :

Maksudnya:
“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh
kepada sebagian yang lain, kecuali orang yang bertakwa.”
(az-Zukhruf:67)
Jika ukhuwwah kosong dari iman, maka yang menjadi ikatannya adalah kepentingan
peribadi atau kelompok, parti dan sebagainya. Hal ini jelas cepat atau lambat akan
menghancurkan nilai ukhuwwah itu sendiri. Sedangkan persahabatan yang tidak terikat
dengan akar taqwa sudah tentu akan menghasilkan permusuhan dan kebencian, seperti
yang terjadi pada awal terjadinya konflik dalam sejarah manusia, persaingan merebut
harta rampasan (ghanimah) dan mengejar kepentingan serta keuntungan.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:
“Janganlah kamu memutuskan hubungan, jangan kamu tidak bertegur
sapa, jangan kamu saling benci membenci, jangan kamu saling
berhasad dengki. Sebaliknya, jadilah kamu hamba Allah yang
bersaudara. Tidak halal bagi seseorang muslim itu tidak menegur
saudaranya lebih daripada tiga hari.”
Ukhuwwah adalah kekuatan yang bersumber dari iman atau aqidah yang melahirkan
perasaan spiritual berupa kasih sayang, kecintaan, kemuliaan dan rasa percaya dan
mendahulukan kepentingan kepada saudara seaqidah. Dan darinya akan timbul sikap
tolong-menolong, mengutamakan orang lain, rasa sayang, pemaaf, pemurah, setia
kawan dan sikap-sikap mulia lainnya. Maka jelaslah bahwa ukhuwwah Islamiyah adalah
sifat yang menyatu dengan iman dan taqwa. Kedua komponen ini tidak dapat
dipisahkan di antara satu sama lain.

SANGKAAN BURUK MENAFIKAN UKHUWWAH

Sangkaan buruk terhadap sahabat di dalam bermasyarakat dan berjamaah adalah
terlarang di dalam agama. Sangkaan buruk yang ditegah di dalam Islam ialah pada
perkara yang tidak ada tanda-tanda dan bukti yang jelas dilakukan oleh seseorang.
Hukumnya jelas haram dan wajib dijauhkan. Seperti sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah SAW telah mengharamkan terhadap seseorang
muslim itu darah dan maruahnya (dengan maksud haram ke atas
seorang muslim menumpahkan darah seorang muslim yang lain, juga
menjatuhkan maruahnya), dan diharamkan juga berburuk sangka
terhadapnya.”
Tetapi terhadap orang yang jelas-jelas melakukan perkara yang terlarang, tiada lagi
penghormatan terhadap dirinya. Kata Al-Hasan:
Maksudnya:
“Tiada penghormatan terhadap orang yang jelas-jelas melanggar larangan Allah.”

WAJIB MENJAGA MARUAH

Di dalam kehidupan bermasyarakat dan berjamaah, mencari kesalahan orang lain
adalah ditegah oleh agama, sehinggalah perkara yang menjadi keaiban seseorang itu,
dizahirkan oleh Allah dan menjadi perkara yang diketahui oleh umum. Untuk itu,
seorang muslim adalah wajib menjaga maruah dirinya daripada jatuh ke dalam kancah
kata nista yang ditujukan kepadanya. Adalah suatu yang wajar, kita sebagai anggota
jamaah, hendaklah mengelakkan diri daripada tempat-tempat dan keadaan-keadaan
yang boleh mengundang fitnah dan tohmahan orang terhadap kita. Seseorang yang
meletakkan dirinya ditempat yang mewajarkan dirinya ditohmah oleh orang, apabila ia
ditohmah dan difitnahkan, ia tidak patut menyalahkan orang lain lagi, selain ia
menyalahkan dirinya sendiri. Seperti kata asthar:
Maksudnya:
“Siapa yang berada di tempat yang boleh menimbulkan tohmahan orang
terhadapnya, maka ia jangan mencela, andai ada orang yang berburuk
sangka kepadanya.”

SYARAT-SYARAT PEMBINAAN UKHUWWAH

1. Ikhlas. Ukhuwwah Islamiyah akan terlaksana bilamana setiap muslim mampu
membebaskan diri dari kepentingan-kepentingan peribadi, kelompok, kumpulan dan
golongan, dan hanya menjadikan Allah Ta’ala semata-mata sebagai tujuan.
Sehingga landasan yang dipakai dalam berjuang adalah landasan Islam.
2. Dilandasi dengan (Al Wala) dan Berlepas diri (Al-Baro’), yang dibingkaikan dengan
al-Qur’an dan Sunnah. Tidak dapat disangkal lagi bahwa ukhuwwah Islamiyah
hanya akan terwujud di antara orang-orang beriman dan bertaqwa. Ertinya seorang
muslim hanya mengambil mukmin dan muttaqin menjadi temannya. Ukhuwwah
Islamiyah yang dibentuk dari peribadi mukmin dan muttaqin ikatannya sangat kuat
dan kukuh, tidak akan goyah meski badai fitnah melandanya karena mereka
bersaudara berlandaskan ilmu dan aqidah/keyakinan yang haq.
3. Tegak berasas nasihat kerana Allah. Seorang muslim seharusnya menjadi cermin
bagi saudara mu’minnya yang lain. Ia akan sentiasa meningkatkan kebajikan,
sebaliknya jika terdapat kekurangan pada diri saudaranya ia akan menasihatinya
dengan cara yang baik dan menganjurkannya agar segera bertaubat kembali
kepada petunjuk agama yang haq. Dengan demikian terjadilah tolong menolong
yang penuh keberkahan jauh dari fanatisme. Sekaligus mendorong terbentuknya
persaudaraan atas dasar Islam dengan neraca syariatNya. “Demi Masa.
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal shalih dan nasihat
menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya
menetapi kesabaran.” (al-‘Ashr: 1-3)
4. Komitmen (Iltizam) dengan metode (Manhaj) pemahaman yang benar. Hal ini akan
terlaksana jika mereka-mereka yang bersaudara ini setia untuk tetap berhukum
kepada hukum Allah dan mengembalikan semua masalah kepada Allah dan
RasulNya. “...Jika kalian berbeza pendapat, maka kembalikanlah semuanya
kepada Allah dan RasulNya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan
hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik
akibatnya.” (an-Nisa:59)

REALITI DALAM PERJUANGAN

Di dalam saf perjuangan, permasalahan kewangan dan kesempitan hidup yang
dihadapi oleh sahabat wajar diberi perhatian. Takaful yang menjadi salah satu daripada
rukun usrah, di antara yang dititikberatkan ialah permasalahan kewangan sahabat.
Hak harta di dalam kategori ini terbahagi kepada tiga peringkat. Pertama: Ini adalah
peringkat yang paling rendah, iaitu kita memenuhi hajat dan keperluan sahabat dengan
menggunakan peruntukan yang lebih daripada peruntukan untuk diri kita sendiri.
Kedua: Harta kita dibahagi dua dengan sahabat. Ketiga; Peringkat yang paling tinggi,
iaitu kita mengutamakan sahabat kita melebihi diri kita sendiri.

PENUTUP

Semoga perjuangan Islam yang sedang kita gerakkan pada hari ini akan tetap terus
bersemarak dan sedang menghampiri era kemenangannya, dengan berkat semangat
setia kawan dan ukhuwwah Islamiyyah yang teguh, seperti yang pernah menjadi realiti
kepada generasi salafusaleh sebelum kita, amin

( Penulis adalah Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah beliau juga adalah salah seorang pensyarah di Kolej Islam Darul Ulum( KIDU)

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons