Memaparkan catatan dengan label KOSMO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KOSMO. Papar semua catatan

Selasa, 3 November 2009

KOSMO! AKAN HADAPI TINDAKAN MAHKAMAH







                        Ust Ibrahim Libya
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kegagalan pihak pengurusan akhbar Kosmo! menarik semula dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan, berikutan penyiaran artikel yang mengaitkan peristiwa Memali dengan ajaran sesat dalam cetakkannya 26 Oktober lalu bakal berhadapan bantahan berterusan serta tindakan undang-undang.

Menurut Pengerusi Madrasah Islahiah Diniah(MID) Memali, Senator Muhamad Yusuf Husin, beliau telah menghubungi sendiri penulis terbabit pada hari terbitan yang sama menuntut permohonan maaf dan menarik semula artikel tersebut.

Jelas beliau, penulis dan pihak Kosmo! diberi tempoh selama tiga hari dari tarikh tersebut untuk berbuat demikian sebelum tindakan mahkamah dan lain-lain diambil. Bagaimanapun katanya, Kosmo! tidak mematuhi tuntutan hingga tempoh tamat.

Untuk itu, Yusuf bersama-sama Mudir MID, Ustaz Mat Juki Ahmad; Timbalan Mudir MID, Ustaz Yusuf Che Me dan wakil penduduk Memali serta kaum keluarga mangsa peristiwa itu, Zaman Mahmud sepakat melantik peguam Darshan Singh untuk mengendalikan pendakwaan ke mahkamah.

"Kami secara rasmi melantik peguam Darshan Singh pada 29 Oktober hari Selasa untuk memfailkan kes dalam sikit masa lagi dan kini beliau sudah pun membuat persediaan.

"Kami juga akan adakan majlis bacaan yasin dan solat hajat besar-besaran di Memali pada 19 November depan bagi memohon kepada Allah agar memberi ketentuan terhadap fitnah oleh penulis dan akhbar tersebut yang tidak menunjukkan rasa sensitif dengan tuduhan dibuat mereka," ujarnya kepada Harakah, 2 November lalu.


Maklumnya lagi, majlis yang turut diadakan sempena 24 tahun peringatan peristiwa Memali itu akan dilanjutkan dengan ceramah perdana pada sebelah malamnya anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah dan MID menampilkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Terdahulu Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya melahirkan rasa kesal dengan kedegilan penulis dan akhbar Kosmo! untuk menyatakan permohonan maaf dan menarik semula artikel tersebut.

“Bahkan mereka tidak memberi sebarang 'respon' walaupun kita telah menghantar memorandum baru-baru ini dan langkah kita seterusnya adalah melalui tindakan undang-undang," maklumnya kepada Harakah, 1 Oktober lalu.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik dalam kenyataan mereka mengecam kebiadaban pihak Kosmo! yang belum menyatakan permohonan maaf sebagaimana dituntut.

Setiausahanya, Fakhrud Rizal Mokhtar berkata, pengurusan Kosmo! ternyata tidak sensitif dengan membangkitkan tuduhan tersebut selain gagal memahami isyarat yang ditunjukkan oleh peserta himpunan pada serahan memorandum 27 Oktober lalu.

"Siapa Zulkifli ini? Apa kekebalan dia? Kami menuntut pengurusan Kosmo! pecat dia atau terima akibat dari kebangkitan pemuda," ujarnya melontarkan amaran.

Fakhrud turut menyifatkan Kosmo! mempunyai agenda jahat untuk menggugat kehidupan aman damai penduduk di negeri ini serta memecahbelahkan masyarakatnya.

Rabu, 28 Oktober 2009

MEMORANDUM DPPNK KEPADA KOSMO







MEMORANDUM


Kepada:
Ketua Biro Utusan Malaysia (Alor Setar)
Ketua Biro Kosmo ! (Alor Setar)
Tingkat 2, NO 1588, Jalan Sultan  Badlishah,
05000 Alor Setar, Kedah

Assalamualaikum wrt wbh.

Tuan,

Dengan tegasnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengecam penyiaran artikel oleh akhbar Kosmo !  pada mukasurat 11 ruangan Negara  kolum keluaran 26/10/2009 (Isnin)  Di Sebalik Berita tulisan Zulkifli Manzor berhubung ajaran sesat di negara ini telah turut sama mengaitkannya dengan peristiwa Memali.  
  
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menegaskan bahawa, artikel tersebut adalah satu tuduhan yang berniat jahat dan cuba mengeruhkan ketenangan para penduduk Memali khususnya dan para pendokong PAS amnya.

Ditegaskan di sini bahawa:

1. Penulis artikel tersebut amat jelas gagal memahami sejarah peristiwa itu apabila menyamakannya dengan ajaran sesat.

2. Kosmo ! dengan sengaja telah membuat dan menyebarkan fitnah terhadap mangsa kejadian Memali. (Sebagai rujukan: Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Almarhum Tuan Guru Yahaya Junaid menegaskan bahawa mangsa peristiwa adalah syahid dan tidak pernah diwartakan oleh mana-mana pihak berkuasa agama bahawa mangsa kejadian Memali terlibat dengan ajaran sesat.)

3. Kosmo !  juga telah mencemarkan kedaulatan KeBawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Kedah kerana, apabila menyifatkan mangsa Memali pengikut ajaran sesat, secara tidak langsung Kosmo ! menuduh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang telah bercemar duli menziarahi pusara mangsa Memali di Kampung Parit Panjang, Baling telah menziarahi pusara pengikut ajaran sesat.

4. Kosmo ! juga dengan sengaja menimbulkan tekanan serta terus memalukan maruah para mangsa Memali dan ahli keluarga mangsa.

Maka dengan ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mendesak agar penulis artikel tersebut, editor dan pihak Kosmo ! untuk memohon maaf secara terbuka dan disiarkan di muka hadapan akhbar Kosmo ! dalam tempoh 24 jam dari masa memorandum ini diserahkan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah juga mengingatkan, agar pihak Kosmo ! tidak perlu mengulas lanjut berkaitan artikel tersebut, tidak perlu diterbitkan artikel untuk menegakkan benang yang basah, cukup hanya sekadar pernyataan memohon maaf.

Sekian, terima kasih.





(AHMAD BIN YAHYA)
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

27 Oktober 2009 bersamaan 8 Zulkaedah 1430H




GAMBAR SERAHAN MEMO BANTAHAN KEPADA KOSMO!


SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons