Jumaat, 8 Oktober 2010

TARBIYYAH DIRI UNTUK MENGUKUH JAMAAH

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

Tarbiyah adalah wadah dalam mengukuhkan perjuangan Islam yang di bawa PAS. Sehubungan itu, menjadi tanggung jawab setiap ahli PAS menyediakan diri dengan sifat-sifat sebagai pejuang ‘hizbul muslimin’ serta mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan tarbiyah.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, setiap ahli PAS perlu berasa bangga menjadi seorang Islam yang berada di dalam jamaah PAS dan perlu ada dalam fikiran bahawa mereka mempunyai peranan untuk mengukuhkan PAS.

Dengan itu, ahli-ahli PAS perlu mengikat diri dengan semua program PAS untuk terus mengukuh kefahaman terhadap tarbiyyah.

“Tidak salah bagi kita untuk menimba pengalaman, tidak salah bagi kita untuk berkawan, tidak salah bagi kita untuk melihat pengalaman-pengalaman mereka yang mungkin juga menggelar diri mereka sebagai gerakan Islam atau harakah Islamiyyah atau apa-apa sahaja gelaran, tetapi apabila kita sudah berada dalam parti ini, dalam jamaah ini, untuk mengukuhkannya yang perlu diberikan ketaatan, yang perlu diletakkankan pada diri kita adalah proses tarbiyyah,” ujarnya memberi pencerahan.

Menjelaskan lanjut perkara itu, tiga perkara asas perlu diberi keutamaan dalam tarbiyah iaitu pembinaan iman, ilmu dan akhlak berteraskan al-Quran.

Sebagai pendokong gerakan Islam, tugas utama atau amalan kita adalah tidak membiarkan satu hari pun tanpa al-Quran,” serunya mengajak para Pemuda meneladani ‘Generasi Al-Quran’ yang dicorakkan Rasulullah.

Usaha itu katanya, bermula dari bacaan, penghayatan lalu menterjemah dan melaksanakannya iaitu beramal dengan al-Quran. Beramal itu pula dijelaskan beliau dilaksanakan kepada diri hingga secara berjamaah dan istiqamah dengannya.

Pada slot bertajuk ‘Pengukuhan PAS Melalui Tarbiyah’ itu, beliau menyentuh huraian Dr Yusuf al-Qardhawi mengenai hadis Nabi SAW bahawa setiap 100 tahun akan lahir mujaddid yang akan memperbaharui agama.

Ujar Ustaz Nasharuddin, mujaddid seperti yang dihuraikan Dr Yusuf itu boleh hadir sama ada sebagai individu, gerakan, pemikiran atau halaqah.

“Kalau itulah yang ditafsirkan oleh Syeikh Qardhawi dari hadis tersebut, jom kita angkat diri kita untuk menjadi mereka yang disebut oleh Nabi SAW sebagai mujaddid dalam bentuk sebuah gerakan, dalam bentuk sebuah jamaah,” ujarnya menyuntik semangat para peserta.

Iltizam itu katanya, adalah untuk membawa perubahan dalam negara ini secara kolektif.

Untuk itu, ahli PAS disamping membina diri dengan iman yang sebenar, perlu juga melengkapkan diri dengan ilmu khususnya berkaitan maqasid syariah agar dapat memahami tuntutan Allah di dalam al-Quran.

Ahli PAS juga perlu dicorakkan dengan akhlak mulia yang membezakan diri dengan orang lain. Kesan dari akhlak itu menurut Ustaz Nasharuddin telah menjadi perhatian banyak pihak kepada PAS, selain mewujudkan rasa yakin dan percaya masyarakat kepada PAS. Malah, dokongan masyarakat kepada PAS terbukti dengan lahirnya Dewan Himpunan Penyokong PAS dari kalangan bukan Islam.

Tegas beliau, hakikatnya ahli PAS adalah duta kepada Islam, jamaah dan gerakan ini. Oleh itu perlu sentiasa mendidik diri menjadi manusia terbaik yang berbeza akhlak dari mereka yang tida ditarbiyah.

Beliau turut mengingatkan agar diri ahli PAS baik pada perkataan mahupun perbuatannya tidak menjadi fitnah kepada Islam. Juga menjaga jamaah dari segala unsur yang cuba merosakkan serta sentiasa memasang niat untuk memperkasakan Islam setiap masa dan tempat.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons