Selasa, 19 Oktober 2010

JANGAN DOK IKUT ORANG YANG AJAK KITA MENCURI

Ditulis oleh ZULKIFLI YAHAYA


Alor Setar – Tindakan pihak tertentu enggan menjelaskan bil air setelah menggunakannya, samalah seperti mengambil hak orang lain tanpa keizinan.
"Dalam Islam hukumnya sangat jelas, iaitu haram dan berdosa,” demikian ditegaskan oleh Timbalan Speaker DUN Kedah Ustaz Ahmad Izzat Shauki.
Menurut beliau lagi, apabila seseorang bersetuju untuk memasang meter di rumah bagi penyaluran air maka bermakna berlaku ‘persetujuan’ dengan pembekal bahawa dia akan membayar harga air tersebut.
Maka apabila seorang itu dengan sengaja enggan untuk membayarnya maka bermakna dia telah mengambil, mengguna atau meminum sesuatu yang bukan haknya.
“Takkanlah benda yang haram tergamak kita nak suap dalam mulut anak isteri atau ahli keluarga kita?” tanya Ustaz Izzat.

Menyentuh tindakan pihak tertentu yang berkempen kepada rakyat Kedah untuk memboikot bil air, beliau menjelaskan bahawa perbuatan tersebut dalah lebih keji kerana mengajak orang ramai melakukan perkara yang haram.

“Rasulullah SAW dah beritahu, barangsiapa yang menunjukkan kepada orang lain melakukan kebaikan maka dia akan mendapat pahala sebagaimana orang lain melakukan, sebaliknya sesiapa yang menunjukkan kepada orang lain melakukan kejahatan maka dia akan turut menanggung dosa yang mereka lakukan,” tegasnya.

Menurut Ustaz Izzat, dari penjelasan CEO SADA Dato’ Adzmi Din bahawa, kenaikan dua sen untuk satu tong dram air adalah berasas. Dengan kenaikan tersebut SADA dianggarkan akan mengalami kerugian RM24 juta setahun, berbanding jika tidak dinaikkan kerugian yang dialami ialah RM42 juta setahun.

Menyentuh mengenai dakwaan pihak yang memboikot tarif air kononnya ia dibuat kerana mutu perkhidmatan air di sesetengah kawasan masih lembab, ADUN Bukit Lada itu menjelaskan bahawa alasan yang diberikan tidak munasabah.

“Kelemahan hanya berlaku di segelintir kawasan, mengapa pihak yang menerima bekalan dengan sempurna pula yang nak boikot?

“Bagi kawasan yang terdapat masalah, pengguna boleh berurusan terus dengan SADA, berbincang dengan baik untuk atasi masalah. SADA pun seperti yang kita sedia maklum telah berusaha habis-habisan untuk mengatasi masalah, berusaha menyiapkan loji secepat mungkin di samping menukar lama dengan yang baru. Mereka bukan duduk saja,” ujarnya.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons