Ahad, 24 Januari 2010

SHAFIE AFDAL DIBIDAS KERANA GAGAL MAJUKAN KEDAH

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah membidas dakwaan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan bahawa ekonomi Kedah semakin mundur selepas diambil alih kerajaan Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, Shafie bukan sahaja ketinggalan maklumat bahkan berfikiran mundur kerana membuat dakwaan dengan asas yang tempang.

Ujar beliau, Shafie selaku Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kedah sepatutnya lebih dahulu mencermin diri melihat kegagalan Umno-Barisan Nasional (BN) yang telah diberi peluang memerintah negeri ini lebih 50 tahun.

“Di mana-mana dalam negeri ini masih bersisa papan tanda lusuh slogan ‘Kedah Maju 2010’ jajaan Umno-BN, tetapi Kedah tidak juga maju. Kerana itulah, kerajaan negeri sekarang di bawah Pakatan Rakyat meneruskan projek-projek dibuat dahulu yang gagal dimajukan BN semasa memerintah.

“Bukan itu sahaja, kerajaan negeri hari ini berusaha keras memulihkan banyak kelemahan di zaman BN, memperbetulkan kerosakan yang berlaku dan mengembalikan hak-hak rakyat. Sedangkan BN telah menoda banyak kepentingan rakyat dan mengautnya untuk kepentingan peribadi.

“Malah kenyataan Shafie bahawa tiada projek pembangunan baru untuk meningkatkan taraf hidup rakyat seolah-olah menyanggah titah Tuanku Sultan Kedah.

“Tuanku Sultan sehari sebelum ini (Ahad, 17 Januari) yakni pada Sambutan Hari Keputeraan Ke-82 di Istana Anak Bukit telah memuji pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan kerana meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya berpendapatan rendah,” katanya kepada Harakah, 19 Januari lalu.

Beliau turut mengingatkan Shafie agar tidak lagi mendendangkan lagu lama dengan kenyataan bahawa hanya BN sahaja mampu membawa kemajuan dan pembangunan, sedangkan retorik itu yang semakin ditolak rakyat negara ini.

“Inilah natijah apabila orang luar bukan anak Kedah yang tidak memahami realiti sebenar di negeri ini, tetapi menerajui Umno Kedah. Apapun itu hak Umno. Dalam konteks negeri Kedah, kita cuma berharap beliau (Shafie) lebih berperanan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, bukan Ahli Parlimen Semporna,” sindir Ahmad mengakhiri kenyataannya.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons