Rabu, 12 Ogos 2009

NAJIB GILAP IMEJ UNTUK PRU 13, PAS PERLU BERSEDIA

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

JENERI: Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar mengingatkan agar seluruh jentera Pakatan Rakyat diperkemas dan diperkasakan bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka diadakan lebih awal.

Menurut Mahfuz, asas itu dilihat berdasarkan keadaan ketika ini di mana Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sedang membuat persediaan tersebut dengan menggilap imejnya di mata masyarakat Malaysia dan juga dunia antarabangsa bagi meraih keyakinan kepada beliau.

Hal itu ujar beliau, termasuk 11 perkara yang diumumkan Najib sempena 100 hari pentadbirannya dan dana besar Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) sebanyak RM10 bilion.

“Sedangkan tidak ada sebarang kesan kewangan yang kerajaan perlu bayar kepada AS1M kerana rakyat yang memberi duit kepada kerajaan di mana kerajaan menjual (saham) dan rakyat membelinya.

“Jadi RM10 bilion itu, mereka (kerajaan) yang dapat dan setahun selepas itulah baru diberi keuntungan atau dividen kepada rakyat (pemegang saham).

“Tetapi semua ini dimainkan di media dengan menunjukkan bahawa dia (Najib) sedang memberi sesuatu kepada rakyat,” ujar beliau ketika ditemui Harakah selepas menyampaikan ceramah pada Sambutan Jubli Perak PAS Kawasan Sik di Dataran Kompleks PAS Kawasan Sik, Kampung Sungai Pau, di sini 2 Ogos lalu.

Kata Mahfuz, beliau yakin Najib tidak akan melepaskan peluang tersebut jika prestasinya dilihat baik dan tidak perlu menunggu lama yang memungkinkan prestasinya kembali susut.

Apatah lagi katanya, kajian MerdekaCentre sebelum isu kematian misteri Teoh Beng Hock menunjukkan imej Najib meningkat.

“Tapi mereka tentunya akan cari jalan selepas isu Teoh ini untuk mengembalikan keyakinan masyarakat dan rakyat kepada mereka dan cuba memberikan imej negatif kepada Pakatan Rakyat. Soal dia (Najib) akan dapat atau tidak imej tersebut, itu perkara kedua.

“Tetapi dia buat itu ke arah untuk pastikan pilihan raya itu cepat. Kalau dia dapat, dia tidak perlu tunggu lama untuk buat pilihan raya dalam tempoh yang saya percaya ia akan disekalikan dengan pilihan raya negeri Sarawak.

“Kerana ada juga pandangan-pandangan dari para pemerhati politik, kalau pilihan raya Sarawak didahulukan, sedangkan perkembangan politik di Sarawak tidak merangsang kepada BN, dibimbangi kesan yang kononnya perbelanjaan besar diberi kepada Sarawak dan Sabah tetap tidak menguntungkan BN,” hujah Mahfuz yang turut menjelaskan bahawa kekalahan di Sarawak akan memberi kesan politik hingga ke Semenanjung.

Oleh itu tegasnya, Najib sedang menggilap imej tersebut untuk kemungkinan melaksanakan pilihanraya serentak.

Ujarnya, beliau menjangkakan PRU-13 tersebut akan diadakan selewat-lewatnya pada hujung tahun depan iaitu penggal akhir untuk pilihan raya negeri Sarawak di mana Najib amat memerlukan mandat baru atas namanya.

Oleh itu Mahfuz menyeru seluruh jentera Pakatan Rakyat diperkemas dan diperkasakan mulai saat ini.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons