Rabu, 21 November 2007

PAS KEDAH SERAH KUTIPAN TANDANTANGAN BANTAH CUKAI TANAH MELAMPAU DI KEDAH

120 ribu tanda tangan bukti Mahdzir berbohong

Helmi Khalid
Mon | Nov 19, 07 | 4:41:53 pm MYT

ALOR STAR, 19 Nov (Hrkh) - Rakyat Kedah berjaya membuktikan bahawa Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid berbohong dalam isu kenaikan cukai tanah dan pintu di negeri ini dengan mengatakan kononnya 90 peratus rakyat Kedah bersetuju dengan kenaikan kadar cukai tanah sehingga 300 peratus.

Ini dibuktikan melalui kejayaan PAS dan Dewan Perhimpunan Cina Kedah mengumpulkan lebih 120 ribu tanda tangan rakyat sebagai protes terhadap kenaikan dan kenyataan Mahdzir itu.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Semakan Kenaikan Cukai Tanah Dewan Perhimpunan Cina Kedah, David Lim Yong Chew, dalam satu majlis penyerahan 100 ribu tanda tangan yang dipungut oleh PAS Kedah baru-baru ini di dewan persatuan itu di Jalan Tanjung Bendahara dekat sini berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada PAS Kedah atas sokongan yang diberikan.

"Kami pada awalnya hanya menjangkakan dapat mengumpul sekitar 30 ke 40 ribu tanda tangan, tapi bila PAS sudi membantu dan juga parti serta pertubuhan lain, angka 120 ribu itu amat dibanggakan pihak kami," jelas beliau dalam majlis yang berlangsung pada 16 November lalu.

Dalam majlis tersebut, tanda tangan dari pihak PAS diserahkan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Haji Azizan Abdul Razak kepada David, hadir sama termasuk Timbalannya, Ir. Haji Phahrolrazi Zawawi, Haji Mahfuz Omar, Pengerusi KeADILan Kedah, Ir. Mohd Zamri Yusuf, Setiausaha PAS Kedah, Haji Yusuf Husin, Ketua Penerangan, Haji Amiruddin Hamzah, Bendahari, Haji Mohd. Taulan Rasul, ADun Bukit Pinang, Haji Rohsidi Osman, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional negeri, Dr. Ismail Salleh serta beberapa pimpinan lain.

Jawatankuasa khas ini turut diwakili wakil kaum India, Ahli Jawatankuasa Majlis Peguam Kedah, NGO dan berpuluh persatuan Cina di Kedah.

Bagaimanapun, kelmarin, hasrat David untuk sekali lagi menemui Mahdzir tidak kesampaian apabila rombongannya tidak dibenarkan menyerahkan memorandum rakyat berkaitan bantahan kenaikan cukai itu setelah dihalang pihak Wisma Darulaman yang hanya menggantikan salah seorang Pegawai Khas MB dan menerimanya di luar bangunan wisma.

Antara kandungan memorandum kepada Mahdzir itu berbunyi "memandangkan tiada tindakan positif dari pihak kerajaan terhadap rayuan kami, maka kami telah mengadakan kempen mengutip tanda tangan".

"Sebanyak 120 ribu tanda tangan telah berjaya dikumpulkan dan ini telah menunjukkan sokongan padu dari warga negeri Kedah untuk merayu kepada kerajaan negeri bagi menyemak semula kadar baru cukai tanah, kami juga telah mengambil beberapa tindakan sejak lebih setahun lalu untuk memohon agar pihak kerajaan negeri menimbang semula SEmakan Cukai Tanah 2004-2005 yang mana ianya memperlihatkan suatu kenaikan kadar yang teramat tinggi dan membebankan," kata memorandum itu. - mns

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons