Jumaat, 24 April 2009

Haji Hussin Rahimi: Ketua Ulama PAS pertama

Mohd Fadli Ghani
Thu | Apr 23, 09 | 12:32:57 pm MYT

SALAH seorang ulama PAS yang terkenal pada era 1960-an ialah Tuan Guru Hussin Rahimi, iaitu tuan guru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, Kelantan.


Tuan Guru Haji Hussin yang menyertai PAS pada 1954 iaitu sebaik sahaja PAS membuka sayapnya di Kelantan ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebelum diambil alih oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1968. Ini bermakna Tuan Guru Haji Hussin ialah salah seorang pemimpin kanan PAS ketika itu, selain pernah menjadi wakil rakyat di Kota Bharu sebanyak dua kali iaitu pada 1959 dan 1964.

Nama sebenar beliau ialah Hussin Rahimi bin Saman bin Abdul Rahman. Di sebelah bapanya, Tuan Guru Haji Mat Saman merupakan seorang ulama yang terkenal di Pasir Puteh dan pernah belajar di Makkah sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau terkenal dengan gelaran Haji Mat Saman Jawi kerana mahir kitab Jawi dan gelaran itu melekat padanya ketika berada di Makkah untuk dilaqabkan dengan nama beliau yang berasal dari Tanah Jawi (Nusantara).

Haji Mat Saman membuka pondok di Tebing Tinggi, Pasir Puteh dan juga di Kok Berangan, Pasir Puteh, Kelantan. Ibunya pula, Hajjah Che Mas atau Halimah binti Haji Sulaiman bin Abdul Ghafur ialah anak kepada seorang ulama, Tuan Guru Haji Sulaiman atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah Sulaiman Keramat, pengasas Pondok Pasir Perah, Chetok, Pasir Mas. Tok Ayah Sulaiman berpangkat sepupu dengan Datok Kadok, pahlawan Kelantan yang terbilang itu.

Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada alim ulama di kedua-dua jurai keturunan, maka tidak hairanlah apabila Tuan Guru Haji Hussin yang dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh pada tahun 1919 turut menjadi ulama yang terkenal. Semenjak kecil beliau dididik oleh ayahnya di Pondok Haji Mat Saman, Tebing Tinggi sebelum dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Garam (Haji Ahmad Zainal Abidin) di Pondok Gong Datuk.

berguru dengan anak Tok Kenali

Setelah usianya meningkat remaja, beliau dimasukkan pula ke Pondok Kenali yang membolehkannya berguru dengan anak Tok Kenali, Tuan Guru Haji Mat Bangkok (ayah kepada bekas Adun Lundang, Allahyarham Ustaz Mawardi Ahmad) dan juga Tuan Guru Haji Mat Jebeng, anak saudara Tok Kenali.

Pada tahun 1937, Tuan Guru Haji Hussin berpindah pula ke Pondok Bunut Payung dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Di pondok ini beliau mentelaah selama 10 tahun sehingga diterima oleh gurunya untuk menjadi guru pembantu bersama-sama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Ketua Ulama PAS Melaka), Tuan Guru Hassan Hilmi (anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) dan lain-lain.

Ketika berada di Bunut Payung, beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab di Surau Tok Khurasan bersama-sama ulama lain ketika itu antaranya Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Tuan Guru Nik Aziz), Tuan Guru Haji Yaakob Gajah Mati, Tuan Guru Haji Nik Lah Wan Musa dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri.

Sepuluh tahun kemudian, Tuan Guru Haji Hussin bertolak ke Makkah dan mendapat sentuhan beberapa orang ulama terkenal termasuk Sheikh Yassin al-Fadani yang terkenal itu.

Berkemungkinan beliau sempat belajar di Madrasah Darul Ulum, Makkah tempat di mana Sheikh Yassin menjadi mudir itu. Beliau berada di Makkah selama empat tahun dan kembali ke Kelantan pada 1951. Oleh kerana ketika di Bunut Payung, beliau telah berkahwin dengan Hajah Che Som, anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, maka Hussin memilih untuk menjadi guru di Bunut Payung yang lebih besar dan terkenal berbanding pondok ayahnya di Kok Berangan, Wakaf Bunut. Beliau mengajar di Bunut Payung selama 20 tahun iaitu sehingga akhir hayatnya pada 1971.

Di samping menjadi guru di pondok ini, Tuan Guru Haji Hussin turut terlibat bersama iparnya, Tuan Guru Haji Hassan Hilmi dalam menubuhkan Madrasah Sullamiah, Bunut Payung pada 1958 iaitu sebagai sokongan kepada Pondok Bunut Payung. Madrasah ini menggunakan sistem kelas dan pelajarnya boleh menyambung pengajian di Maahad Muhammadi.

Dalam masa yang sama juga, Tuan Guru Haji Hussin cuba menghidupkan semula Jabhah ad-Diiniyah Kelantan yang diasaskan oleh adik-beradik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dan Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad pada 1937 dahulu. Hasilnya, pada 1957, Persatuan Guru-guru Agama Rakyat Kelantan (PEGERAK) telah berjaya ditubuhkan di Bunut Payung selepas satu perjumpaan di Padang Lepai, Kadok.

PEGERAK dipimpin oleh Ustaz Hassan Idris, adik kepada Mufti Sabah, Haji Ahmad Idris. Ketika Jabhah al-Diiniah masih wujud sebelum beliau berangkat ke Makkah, Tuan Guru Haji Hussin merupakan tenaga penting yang membantu mertuanya menggerakkan jabhah tersebut.

Ekoran penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dalam PAS pada 1954 diikuti oleh Pondok Bunut Payung menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung PAS ke-4 pada 1955, maka Tuan Guru Haji Hussin telah sama menyertai perjuangan Islam dalam PAS. Pada 1955, beliau terlibat membantu bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad bertanding mewakili PAS di Pasir Mas. Akhinya pada 1959, beliau sendiri menjadi calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu Hulu dan menjadi wakil rakyat selama dua penggal berakhir 1969.

Beliau yang pernah menjadi anggota Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, kemudian pada 1962, menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sehingga 1968. Di samping itu juga, Tuan Guru Haji Hussin turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Agama Kerajaan Kelantan (1959-1969) dan selepas tidak menjadi wakil rakyat, beliau berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (1969-1971).

Sesudah 20 tahun memberikan jasa dalam bidang pendidikan, politik, pentadbiran awam dan agama, akhirnya pada 17 November 1971, Tuan Guru Haji Hussin meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur dalam usia 52 tahun iaitu setelah jatuh sakit selama sebulan.

Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Menantunya, Ustaz Yahya Othman, bekas Exco Kerajaan Kelantan yang pernah menjadi Murabbi Tarbiyah PAS dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS adalah antara waris yang meneruskan perjuangan beliau dalam PAS bagi menegakkan daulah Islam.- tajdid_

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons